Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramlee ‘jambatan’ Semporna dengan kerajaan Pusat, negeri

Datuk Ramlee Marahaban bersalaman dengan penduduk Kampung Terusan Tengah semasa berkempen di Pulau Bum Bum. – Foto Khairull Azry Bidin

 

SEMPORNA: Sikap penyandang kerusi Parlimen Semporna membelakangkan kerajaan negeri menyebabkan kegagalan beberapa projek pembangunan mega yang dirancang untuk daerah ini.

Sehubungan itu, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Semporna, Datuk Ramlee Marahaban, berkata beliau akan menjadi ‘jambatan’ menghubungkan daerah ini dengan kerajaan negeri dan Pusat bagi memudahkan pembangunan dilaksanakan, jika dipilih sebagai wakil rakyat. 

“Mungkin pemimpin dahulu membelakangkan kerajaan negeri. Bagaimana kita boleh berjaya melakukan sesuatu tanpa kerjasama yang erat?

“Sekiranya diberikan mandat, saya yakin dapat melakukan sesuatu dalam tempoh 100 hari, antaranya membina pusat pelancongan Semporna bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan.

“Keduanya ialah jambatan ke Pulau Bum Bum seperti diumumkan Perdana Menteri dan saya yakin boleh bekerja sebaiknya untuk memastikan ia dimulakan segera,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Parlimen Semporna menyaksikan saingan empat penjuru apabila Ramlee berdepan penyandang kerusi itu sejak 1995 daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Asmara Asmad dan Abdul Nasir Ab Rauf (PAS).

Mengulas peluangnya, Ramlee yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah berkata, beliau yakin rakyat dapat menilai segala pembangunan dan kemajuan dibawa kerajaan BN di Semporna.

Keyakinan itu, katanya, berdasarkan lawatan kerja ke beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang rata-rata memberi maklum balas positif, sekali gus menunjukkan BN masih relevan untuk rakyat Semporna.

CALON Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Semporna, Datuk Ramlee Marahaban bertemu penduduk Kampung Gusung ketika berkempen di Pulau Bum Bum. – Foto Khairull Azry Bidin

 

Katanya, walaupun ramai beranggapan Mohd Shafie adalah calon ‘gergasi’, beliau percaya rakyat Semporna matang untuk menilai.

“Saya yakin rakyat masih meletakkan kepercayaan tinggi kepada BN. Hasil jelajah ke kawasan PDM, jentera memperlihat momentum dan semangat tinggi. Ia menunjukkan kekuatan BN di Parlimen ini.

“Banyak pembangunan di daerah ini seperti pembinaan kompleks sukan, pembesaran jalan, peningkatan sosial ekonomi, menyelesaikan masalah tanah adat dan kemudahan asas lain kita bawa sepanjang tempoh dua tahun ini.

“Sebab itu, saya berani tawar diri bertanding di kerusi Parlimen. Saya percaya mampu menjadi ‘jambatan’ antara daerah Semporna dengan kerajaan negeri dan Pusat untuk pembangunan berterusan,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan