Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,664

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ramai Ternanti-nanti Ucapan Penting Pairin Di Kongres PBS Sabtu Ini

6:34pm 12/11/2015 Pak Roshan 289 views Mutakhir,Politik

pairin-disambut-oleh-ahli-ahli-pbs-e1442673482722

TAWAU : Ramai ternanti-nanti persidangan perwakilan tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-30 di Dewan Sekolah Kian Kok Hall di Kota Kinabalu, Sabtu ini kerana menjangka presiden parti, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, akan menyampaikan ucapan penting bagi mengukuhkan parti itu.

Memandangkan tidak sampai dua tahun lagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan, peramal politik percaya pemimpin berusia 75 tahun itu, yang juga pengasas dan presiden PBS paling lama, mungkin mempunyai satu strategi politik untuk menjadikan parti itu lebih kuat untuk menghadapinya.

Menurut mereka, antara strategi yang akan dilaksanakan ialah memasukkan orang muda ke dalam barisan kepimpinan parti dan langkah ini sekali gus akan menarik minat lebih banyak anak muda untuk menganggotainya.

Aktivis sosial dan politik Sabah, Datuk Patrick Sindu berpendapat sudah tiba masanya parti itu diremajakan kembali dan beri semangat baharu, sejajar dengan keperluan senario politik semasa.

“Apa yang saya lihat ialah landskap politik di negara ini sudah berubah secara drastik. Bagaimanapun, dalam politik, apa sahaja boleh berlaku…politik adalah seni serba kemungkinan. Oleh itu, kongres PBS akan datang ini adalah sangat menarik untuk diperhatikan atau dipantau,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Setiausaha Pemuda PBS pada 1985 itu meramalkan Pairin, yang juga Huguan Siou (pemimpin ulung) masyarakat Kadazandusun di Sabah, mungkin memberi ‘bayangan’ tentang laluan yang akan diambil parti itu pada kongres tersebut.

PBS akan mengadakan kongres tahunannya selama tiga hari, bermula Jumaat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan kongres itu pada hari berikutnya iaitu Sabtu.

Pada September 2012, Pairin, yang kempimpinannya masih diperlukan rakyat, terutama pemimpin dan anggota Sabah, dilaporkan berkata PRU14 akan merupakan pilihan raya umum terakhir yang akan beliau tandingi, dengan menyatakan bahawa keletihan adalah sebab beliau mengambil keputusan itu.

Bagaimanapun, Pairin, yang juga Anggota Parlimen Keningau dan Anggota Dewan Undangan Negeri Tambunan, mula bergiat dalam politik pada 1975, belum membuat pengumuman rasmi mengenainya.

Walaupun Ketua Penerangan PBS, Datuk Jahid Jahim baru-baru ini berkata kongres itu akan memberi fokus terhadap isu mendesak, terutama pendatang tanpa izin dan persiapan menghadapi pilihan raya umum, tetapi ia dijangka diberi tumpuan mendalam oleh banyak pihak di negeri ini kerana kemungkinan sesuatu yang mengejutkan akan diumumkan.

Seorang penyokong tegar PBS dari Rancangan Sungai Manila, Sandakan, Kalui Gurin berkata: “Secara peribadi, kami masih memerlukan kepimpinan dan pengalaman Pairin”. “Pairin sentiasa konsiten dalam mengetengahkan isu pendatang tanpa izin di Sabah pada setiap kongres parti itu sejak PBS ditubuhkan 30 tahun lepas,” katanya sambil menyuarakan harapan agar Pairin akan terus menjadi presiden PBS, setidak-tidaknya sehingga selesai PRU14.

“Sekiranya Pairin melepaskan jawatan nombor satu dalam parti, saya rasa timbalan presiden sekarang (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) adalah calon paling layak untuk mengambil alih tugas menerajui parti ini,” tambahnya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan