Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Ramai Penagih Dadah Tidak Sedar Mereka Dambakan Kasih Sayang

11:02pm 03/11/2016 Pak Roshan 0 views Mutakhir,Rencana
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

PAPAR : Kebanyakan penagih dadah yang mendambakan kasih sayang daripada keluarga tidak sedar keperluan mereka itu mampu dipenuhi.

Seorang klien Pusat Pemulihan ‘Cure and Care’ (CCRC) di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Attack, 40, berkata banyak daripada kalangan penagih tidak sedar mereka mempunyai sistem sokongan yang lengkap, tetapi atas faktor tertentu, mereka menjauhkan diri daripada keluarga dan masyarakat.

“Semua kita memerlukan perhatian, tetapi cara setiap orang mendapatkannya berbeza.

“Bagi yang mudah memberontak memerlukan cara alternatif atau lebih keras untuk membuktikan yang kita mengambil berat mengenai mereka.

“Kalau tidak (cara alternatif), ada kemungkinan mereka boleh terjebak dengan kegiatan negatif,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Karnival Anti Dadah Peringkat Daerah Papar anjuran Mahkamah Sabah dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Papar di sini hari ini.

Attack, yang juga bapa kepada dua anak remaja itu, turut menasihatkan masyarakat, khususnya golongan muda, supaya tidak mudah terasa tersisih daripada keluarga, sebaliknya sentiasa berusaha merapatkan hubungan, walaupun berdepan dengan apa jua masalah.

Jelasnya, langkah itu mampu mencegah masyarakat daripada terjebak dengan gejala negatif seperti penagihan dadah sebagai jalan cepat untuk ‘lari’ atau menenangkan diri daripada memikirkan masalah yang membelenggu.

Dia turut menegaskan penagihan dadah atau penjualan dadah adalah kegiatan yang sia-sia dan tidak membawa kepada masa depan yang baik.

“Laluan untuk memulihkan diri daripada gejala negatif juga tidak selesa kerana penagih mungkin terpaksa menjalani hukuman penjara atau program pemulihan seperti di CCRC.

“Jadi, saya ingin memberi amaran kepada masyarakat yang baru mencuba menagih dadah atau sedang menagih supaya berhenti tabiat itu sekarang,” tegasnya.

Pada karnival itu, Attack turut berkongsi pengalamannya ketika pertama kali menagih dadah semasa berumur awal 30-an bermula dengan perasaan ingin tahu.

Menurutnya, ketika itu, dia sedang bergolak dengan masalah ekonomi dan ingin mencari jalan pintas untuk melupakan masalah yang dihadapi.

“Saya pernah dipenjarakan selama dua tahun kerana mengambil dan memiliki dadah dan selepas dibebaskan, saya cuba insaf, tetapi tidak lama.

“Setahun, dua tahun kemudian, saya kembali kepada dadah dan semasa itulah, atas kasih sayang keluarga dan jiran, saya dimasukkan ke CCRC,” katanya.

Attack mengakui berat baginya untuk menceritakan aibnya sendiri kepada masyarakat, tetapi nekad dengan kesilapannya dan mahu mendidik masyarakat mengenai bahaya najis dadah.

“Saya sedar kesilapan saya dulu dan sekarang saya dahagakan peluang untuk berbuat baik dan berharap usaha saya untuk mendidik dihargai oleh masyarakat,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan