Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadhan – Simulasi Kehidupan Mukmin

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Dalam perjalanan hidup kita setahun, kita akan dikurniakan oleh Allah SWT Ramadhan. Ramadhan berjalan selama sebulan, dan setiap tahun akan ada Ramadhan. Tiada tahun yang tiada Ramadhan. Setiap orang yang beriman, dan akil baligh, apabila datangnya Ramadhan, mereka akan diwajibkan berpuasa. Dan selain berpuasa(menahan diri dari lapar dan dahaga, juga nafsu shahawat), Ramadhan datang dengan jadualnya yang tersendiri.

Bermula dengan sahur, kemudian puasa di siang hari hingga maghrib, diikuti dengan qiyam melalui tarawih, antara tiga perkara yang tidak kita jumpai semasa bulan yang lain. Ini ditambah pula dengan suasana Ramadhan yang menggalakkan orang-orang beriman menambah amal ibadat, menyebabkan Ramadhan popular dengan aktiviti-aktiviti kebaikan seperti sedekah, bacaan Al-Quran, zikir, i’tikaf di masjid dan sebagainya.

Persoalannya, apakah itu gunanya Ramadhan?

Yakni satu bulan untuk beribadat bersungguh-sungguh. Satu bulan menahan diri dari nafsu syahwat dan perkara terlarang. Kemudian 11 bulan yang lain, kita boleh hidup dengan kelalaian dan kealpaan, mengabaikan hukum-hukum Allah? Apakah begitu?

Pasti pelik jika kita beranggapan sedemikian.

Untuk saya, Ramadhan sebenarnya wujud sebagai bulan kesedaran untuk orang-orang beriman mengingati kembali, kehidupan yang sepatutnya mereka lalui, di bulan-bulan yang lain.

Refleksi Ramadhan Kepada 11 Bulan Yang Lain

Apakah Allah SWT, yang diyakini sebagai Tuhan untuk semesta alam dan disembah oleh ummat Islam itu, hanya wujud di kala Ramadhan?

Tidak. Ummat Islam yang bersih keimanannya beriman bahawa Allah SWT itu sentiasa wujud. Dia bahkan tidak pernah penat dan tidak mengantuk apatah lagi tidur. Tidak akan ada satu pun perkara yang terlepas dari pemerhatian Allah SWT.

Allah SWT berfirman: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya),” Surah Al-Baqarah ayat 255.

Justeru sebenarnya adalah patut ummat Islam yang mengakui beriman kepada Allah SWT untuk melihat kembali bahawa Ramadhan hakikatnya bukan bulan beribadah. Ramadhan hakikatnya ialah bulan yang menyedarkan diri kita bahawa hidup ini ialah ibadah. Bulan yang menyedarkan kita bahawa hakikat hidup kita ialah pengabdian diri kepada Allah SWT, mematuhi perintah dan menjauhi laranganNya.

Kita lihat kembali Ramadhan, siangnya kita dididik untuk berpuasa. Hakikatnya kita boleh terjemahkan arahan berpuasa di siang hari itu sebagai ‘supression’ – tekanan – atau paksaan kepada diri agar tunduk kepada Allah SWT. Apabila kita berpuasa, kita automatik menahan diri dari nafsu serakah yang biasanya kita biarkan liar di bulan yang lain.

Perhatikan, dalam bulan Ramadhan, kita jadi sensitif benar dengan apa yang ‘membatalkan puasa’. Jangan kata makan dan minum serta hubungan seks, kadang korek hidung, korek telinga, berkumur dan gosok gigi pun jadi ‘besar’ untuk kita di dalam Ramadhan. Kerana takut terbatalnya puasa. Terus di dalam bulan Ramadhan, kita ada azam untuk mengawal lidah dari percakapan buruk, telinga dari mendengar perkataan buruk, dan mata dari melihat perkara buruk, kerana risau pahala berpuasa berkurangan. Risau puasa kita menjadi puasa yang sekadar lapar dan dahaga semata-mata.

Hakikatnya, sama sahaja dengan kehidupan di 11 bulan yang lain. Tinggal bezanya, bulan-bulan yang lain kita tidak diwajibkan berpuasa di siang hari. Tapi masih juga, di bulan-bulan yang lain itu, makan dan minum berlebihan adalah tidak digalakkan di dalam Islam. Di bulan-bulan yang lain itu, tetap sebenarnya percakapan yang buruk, melihat perkara yang dilarang, mendengar perkara yang tidak mematuhi syariat, adalah tidak dibenarkan di dalam Islam. Kita digalakkan menambah amal dan kebajikan di dalam Ramadhan, begitulah juga sebenarnya kita digalakkan bersungguh berbuat amal dan kebajikan di bulan-bulan yang lain. Kerana itulah dia hidupnya seorang mukmin, dia hidup dengan kebaikan dan membawa kebaikan kepada orang lain. Bukan di bulan Ramadhan sahaja begitu.

Justeru sebenarnya siang di Bulan Ramadhan itu, melatih kita untuk hidup dengan kehidupan sebenar seorang mukmin. Perhatikan sabda-sabda Rasulullah SAW yang berikut:

Daripada Abu Musa Al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu dia berkata: “Aku bertanya: Wahai Rasulullah, orang Islam yang bagaimanakah yang paling utama? Baginda menjawab: Orang yang kaum Muslimin selamat dari lisannya dan tangannya.” Hadith Riwayat Bukhari.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” Hadith Riwayat Bukhari.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang soleh.” Hadith riwayat Bukhari.

Ketinggian akhlak itu ialah dengan pematuhan kita terhadap perintah dan larangan Allah SWT. Dan ini sebenarnya berjalan sepanjang masa, bukan sahaja pada Ramadhan.

 

Setahun, Satu Bulan Kesedaran & Servis Diri

Allah SWT adalah Tuhan yang menciptakan manusia. Dia satu-satunya Tuhan, yang merupakan Tuan bagi segala-galanya. Apabila Dia menciptakan manusia, Dia tahu lemah dan kurangnya manusia ini. Dalam setahun, maka diciptakannya Ramadhan dan difardhukan ke atas mereka yang beriman kepadaNya, untuk berpuasa di dalam bulan ini.

Apakah kerana Dia mahu menambah kekuatanNya? Jika orang tidak berpuasa dalam Ramadhan, Allah akan melemah? Tidak sama sekali. Maha Suci Allah SWT dari kelemahan dan kekurangan.

Namun Ramadhan itu, dan aktiviti di dalamnya, suruhan dan tegahan di dalam Ramadhan itu, sebenarnya manfaatnya ialah untuk manusia yang melaluinya. Ramadhan menjadi bulan kesedaran bagi yang selama ini alpa untuk 11 bulan lamanya, atau untuk tahun-tahun yang sebelumnya. Ramadhan juga menjadi bulan ‘servis diri’ bagi mereka yang memanfaatkannya.

11 bulan penuh mencabar, maka Allah hadiahkan kita Ramadhan yang mana suasananya diberikan sedikit keringanan untuk diri jadi rasa lebih bersemangat untuk beribadah dan membuat penambah baikan.

Sabda Rasulullah SAW: “Apabila Bulan Ramadhan tiba, maka dibukakanlah pintu-pintu syurga, dan ditutuplah pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.” Hadith Riwayat Musim.

Apakah benar syaitan betul-betul dibelenggu dan pintu neraka ditutup, itu satu perbahasan. Namun sama ada benar atau ianya sekadar kiasana, kedua-duanya membawa konklusi yang serupa, yakni suasana di dalam bulan Ramadhan adalah suasana yang dimudahkan untuk kita beribadah dan membuat penambah baikan kepada diri.

Di sini kita mengambil peluang. Kita lihat pula bagaimana Allah SWT menjanjikan ketaqwaan sebagai hasil daripada pemfardhuan puasa di bulan Ramadhan.

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas kaum-kaum sebelum kamu, moga-moga kami beroleh ketaqwaan.” Surah Al-Baqarah ayat 183.

Allah SWT tidak menjanjikan perkara lain. Allah tidak menjanjikan penambahan iman, Allah tidak menjanjikan kesabaran, Allah tidak menjanjikan kemenangan. Tetapi Allah SWT menjanjikan ketaqwaan. Taqwa ini mudahnya ialah takut, peka, sensitif dengan suruhan dan tegahan Allah SWT. Kepekaan dan sensitiviti ini, dapat kita lihat tertingkat dengan ibadah puasa – kita sangat-sangat menjaga diri untuk tidak membatalkan puasa dan mengurangkan pahala puasa. Sebenarnya itu adalah latihan untuk 11 bulan yang lainnya, agar kita berhati-hati tidak membatalkan keimanan kita dan juga mengurangkan pahala kita di sisi Allah SWT.

Nampak? Kerana itulah taqwa yang menjadi pialanya di dalam kem Ramadhan.

Supaya keluar dari Ramadhan, kita punya kesedaran untuk hidup dengan kehidupan seorang mukmin yang sebenar.

 

Penutup: Tuhan Kita Ialah Allah

Barangsiapa yang beriman dengan Ramadhan, Ramadhan ini setahun sekali sahaja. Ramadhan akan pergi, dan kemungkinan tidak akan datang kembali.

Namun barangsiapa yang bertuhankan Allah SWT, maka Allah SWT itu sentiasa hidup dan tidak akan sesekali mati. Allah hidup semasa Ramadhan dan Dia jugalah Tuhan kita di luar Ramadhan.

Maka lihatlah Ramadhan sebagai bulan untuk kita melatih diri hidup sebagai seorang mukmin yang sebenar.

Jangan sekadar menahan hawa nafsu, menjauhi perkara larangan Allah, semata-mata untuk menjaga puasa, semata-mata untuk ‘menghormati Ramadhan’. Kerana Ramadhan bukan Tuhan kita. Namun itu semua hakikatnya perlu kita lihat sebagai latihan agar kita mampu hidup dengan baik sebagai orang yang beriman pada 11 bulan yang lainnya.

Allah SWT tidak akan menciptakan sesuatu dengan sia-sia dan demikian jugalah Dia tidak menciptakan Ramadhan dengan sia-sia. Allah SWT tidak akan mengwajibkan Ramadhan jika ia tidak ada maknanya yang tersendiri. Ada signifikannya. Ada tujuanNya yang besar.

Itulah dia untuk menyelamatkan hamba-hambaNya yang beriman, agar mereka dapat hidup dengan kehidupan yang sebenar, kehidupan yang lebih baik, dalam perjalanan mencari redha dan maghfirah Allah SWT.

Barangsiapa yang keluar dari Ramadhan dan dia tidak mampu membawa hasil Ramadhan dalam perjalanannya pada 11 bulan yang kemudian, dia hakikatnya terlepas makna sebenar Ramadhan.

Piala Ramadhan ialah taqwa, dan lihatlah pesanan Allah SWT akan bekalan yang terbaik:

“Berbekal lah kamu, sesungguhnya sebaik-baik bekal ialah taqwa.” Surah Al-Baqarah ayat 197.

Muhasabah.

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Komen


Berita Berkaitan