Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadhan: Peduli Fadhilat, Perbaiki Kaifiyat

Gambar Hiasan - SayangSabah.com
Gambar Hiasan – SayangSabah.com

Kunjungan tetamu yang dirindui kian tiba. Jika seseorang terpisah dengan orang yang dicintai itu begitu rindu dan semestinya akan melayani sebaik mungkin apabila bertemu semula. Inikan pula tetamu yang terlalu istimewa buat sekalian manusia yang beriman yakni ramadhan. Ramadhan yang mana terdiri daripada lima huruf hijaiyah (jawi) yakni – رمضان – dihuraikan maksudnya oleh sebahagian ulama’ dalam menyatakan kelebihan-kelebihan yang terdapat di dalamnya berdasarkan hadis-hadis yang sahih iaitu:

Huruf ر : Rahmat Allah yang lebih luas dibuka kepada sekalian makhluk
Huruf م : Maghfirah (pengampunan) yakni pintu taubat yang senantiasa terbuka
Hururf ض : Doman (Jaminan) untuk dimasukkan ke dalam syurga
Huruf ا : Aman (Dijauhi) oleh api neraka
Huruf ن : Nur (cahaya) yakni petunjuk  Allah s.w.t kepada kebenaran

Terdapat kelebihan-kelebihan yang lain yang disebutkan dalam hadis seperti digandakan amalan dan sebagainya. Adapun fadhilat-fadhilat di atas adalah yang utama yang dijanjikan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya yang prihatin dan bersungguh dalam beramal dalam bulan yang penuh keberkatan tersebut. Dalam pada kita berusaha sehabis mungkin untuk beribadah dalam bulan mulia ini, tambahan meyakini ganjaran-ganjaran yang akan kita perolehi berdasarkan amalan kita, terdapat sedikit kekeliruan dalam kalangan kita tentang Ramadhan. Sebilangan daripada kita lebih sibuk mentelaah perkara yang disebut sebagai fadhilat (kelebihan) melebihi kaifiyat (cara perlaksanaan).

Tidak dinafikan kebaikan kita mengetahui fadhilat sesuatu ibadah dalam Islam itu dapat memberikan manfaat dan menyuntik semangat dalam beribadah. Cuma melihat kepada sumber-sumber yang menceritakan tentang kelebihan tersebut banyak yang tidak tepat yang membawa manusia kepada tahap yang tidak baik iaitu berdusta ke atas baginda s.a.w. Sedangkan akibat dusta atas nama baginda merupakan suatu kesalahan yang besar sebagaimana hadis baginda s.a.w:

Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah persiapkan tempat duduknya di dalam neraka. (HR Bukhari)

Namun, sebahagian kita terlalu gopoh untuk dalam meniliti sesuatu kelebihan yang disandarkan kepada baginda s.a.w tambah-tambah apabila ia masyhur dan sering digunakan oleh penceramah-penceramah walhal sumber kepada hadis tersebut diragui. Hal ini merbahaya kerana boleh jadi kita termasuk dalam golongan yang diancam oleh baginda s.a.w. jika kita tidak berusaha belajar dan memperbaiki kesilapan. Sebagai contoh hadis yang amat masyhur dalam kalangan masyarakat:

“Awal bulan Ramadhan itu adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya ialah pembebasan dari api neraka.”

Imam Az-Zahabi (sarjana hadis) menyatakan hadis ini adalah hadis mungkar yang membawa maksud diriwayatkan oleh perawi yang dhaif bertentangan dengan perawi yang thiqah.

Walaupun hadis ini seringkali digunakan oleh ulama’-ulama’ besar dalam kitab-kitab yang muktabar, tetapi jika sumbernya tidak diperakui maka ia tertolak. Namun demikian ia tidak mengurangkan kredebiliti ulama’ tersebut kerana kemungkinan disebutkan itu untuk waris seterusnya mengkaji semula akan periwayatan tersebut dan juga kesalahan sebagai manusia biasa. Walau bagaimanapun jika terdapat hadis dan pendapat mereka dalam kitab yang sama yang diperakui kesahihannya maka perlu kita terima dan harus dijadikan sebagai pegangan kita.

Sesuatu hadis itu mungkin tertolak adalah disebabkan perawinya (penyampai) atau matan (teks) itu tidak diperakui oleh sarjana hadis, namun terdapat hadis-hadis yang sahih membawa maksud yang sama. Sebagai contoh berkenaan bulan ramadhan seperti hadis di atas ada dua hadis sahih yang merangkumi makna hadis tersebut iaitu:

1. Jika datang bulan Ramadhan, maka terbukalah pintu-pintu rahmat, tertutup pintu-pintu neraka, dan syaitan-syaitan dibelenggu. (HR Muslim)

2. barangsiapa yang berpuasa pada bulan ramadhan kerana keimanan kepada Allah dan berkira-kira (mengharapkan pahala) hanya dari-Nya maka diampunkan dosanya yang telah lalu. (HR Bukhari)  

Melihat kepada kandungan kedua hadis ini, sememangnya terdapat rahmat Allah yang begitu luas, pengampunan daripada-Nya serta peluang pembebasan daripada api neraka. Cuma ia lebih selamat kerana datangnya daripada sumber yang sahih dan diperakui serta dijauhkan permasalahan khilaf yang tidak membuahkan hasil bahkan hadis-hadis yang sahih ini tidak pula membahagikan ramadhan itu dengan kelebihan-kelebihan tertentu pada tempoh waktu yang tertentu bahkan menunjukkan sepenuhnya bulan ramadhan itu adalah rahmat, pengampunan dan juga pembebesan daripada api neraka yang diganjarkan bagi mereka yang berusaha mendapatkannya.

Ramadhan bukan sekadar bulan puasa

Menjadi suatu kesilapan dalam fahaman masyarakat kita bahawa bulan ramadhan adalah semata bulan puasa. Bahkan lebih rosak apabila puasa ramadhan dikecilkan skop definisinya kepada menahan makan dan minum semata-mata. Oleh sebab itu, malangnya dalam masyarakat kita hari ini kita melihat ramai yang berpuasa tetapi tidak menutup aurat. ramai yang berpuasa tetapi tidak solat. Kewajipan ini apabila ditinggalkan biarpun tidak membatalkan puasa itu, tetapi ia sebenarnya menghilangkan ruh dalam ibadah puasa. Agak pelik tuhan yang sama kita takut dan berusaha untuk berpuasa kerana suruhannya tetapi tuhan itu juga kita ingkar dalam suruhan-Nya yang lain. Sebab itu menghidupkan ramadhan bukan semata dengan puasa yang terjaga keseluruhannya daripada pandangan, pendengaran, percakapan serta makan dan minum, tetapi dengan memperbaiki amalan-amalan wajib dan menggandakan amalan sunat.

Ramadhan juga dianggap tempang jika manusia beranggapan ia bulan bulan puasa. Bulan untuk memperbanyakkan doa. Bulan untuk tangisi dosa-dosa semata sedangkan kita berdiam diri dan sering menggunakan alasan letih untuk melakukan rutin harian kita. Bermalasan dalam belajar, tidak bersungguh melaksanakan tugasan kerja, maka sebenarnya ia merupakan suatu kekurangan yang perlu dibaiki segera. Hal ini kerana ramadhan bagi generasi para sahabat terdahulu merupakan bulan jihad! Perang badar, pembukaan kota Makkah, pembukaan kota-kota Islam, dan pelbagai peperangan yang berlaku dalam bulan ramadhan. Justeru itu, kita yang mengakui mencintai mereka yang telah pergi dahulu atas dasar keimanan, sebetulnya kita mengikuti langkah mereka. Mungkin tidak perlu angkat senjata, cukup gandaan perkara sunat bersama perbaiki yang wajib, dan bersungguh dalam tanggunjawab kita sama ada pelajar atau pekerja, moga-moga ia dikira jihad pada sisi-Nya.

Ramadhan bukan waktu siang

Sebahagian masyarakat juga mempunyai pandangan yang salah apabila menganggap ramadhan hanya ketika waktu siang hari. Siang harinya benar-benar dijaga agar tiada perkara yang boleh mencacatkan puasa. Tetapi selepas pada waktu berbuka, segala larangan atau penjagaan daripad perkara mungkar ini seolah terbuka hijabnya. Ada yang terus melakukan sesuatu yang haram seperti merokok, ada juga sudah tidak terkawal lidah mengumpat dan sebagainya. Walhal kemuliaan ramadhan itu bukan semata pada siang harinya bahkan seluruh ramadhan itu mempunyai kelebihannya.

Dalam sahihain (Bukhari dan Muslim) melalui riwayat yang berbeza dalam setiap satunya, baginda menyebutkan berulang kali hadis yang hampir sama iaitu:

 barangsiapa yang berpuasa pada bulan ramadhan kerana keimanan kepada Allah dan berkira-kira (mengharapkan pahala) hanya dari-Nya maka diampunkan dosanya yang telah lalu

 barangsiapa yang mendirikan bulan ramadhan kerana keimanan kepada Allah dan berkira-kira (mengharapkan pahala) hanya dari-Nya maka diampunkan dosanya yang telah lalu

 barangsiapa yangmendirikan malam al-Qadr kerana keimanan kepada Allah dan berkira-kira (mengharapkan pahala) hanya dari-Nya maka diampunkan dosanya yang telah lalu

Hadis-hadis ini membuktikan ramadhan bukan bukan sekadar puasa di dalamnya bahkan juga didirikan didalamnya amalan-amalan yang lainnya. Ramadhan juga bukan sekadar kelebihan tertumpu pada malam -al-qadr tetapi keseluruhan siang dan malam yang didirikan di dalamnya amalan-amalan maka diberikan kelebihan keampunan dan kelebihan-kelebihannya yang lain.

Keimanan berdasarkan sumber yang sahih

Keimanan menjadi tunjang utama sebagai tuntutan Allah daripada hamba-Nya sebelum Dia memberikan ganjaran yang setimpal. Namun untuk memperoleh kebaikan ini tidakkah cara-cara yang bertepatan dengan nas melalui mazhab-mazhab yang muktabar perlu dipraktikkan agar kita memperoleh kekhusyukan dalam ibadah dengan perlaksanaannya yang sempurna dan menepati kaedah yang tepat?

Sebab itu, di sini ditegaskan sekali lagi dengan menyeru kita untuk mempelajari (bagi yang belum tahu) dan memperbaiki (bagi yang ragu-ragu) ibadah-ibadah kita dalam bulan ramadhan agar bertepatan dengan nas agama dan pendapat ulama’.

Adapun fadhilat dalam bulan mulia ini bukanlah bermaksud tidak perlu kita ketahui. Bahkan elok untuk dipelajari kerana menambahkan keinginan kita untuk menggandakan ibadah.  Namun sumber-sumber yang diperolehi haruslah diperakui oleh ilmuan agama atau yang jelas datang dari Al-Quran dan Sunnah yang sahih.

Kesimpulannya

Biarpun kita tidak mengetahui banyak tentang fadhilat yang Allah janjikan dalam bulan ramadhan disebabkan keterbatasan dalam menilai ketepatan sumber, yakinlah bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang setimpal atas usaha-usaha kita mempelajari dan memperbaiki amalan kita kerana boleh jadi fadhilat yang dinyatakan adalah begitu dan begini, tetapi dengan rahmat Allah dan keikhlasan kita beribadah, Allah gandakan lebih daripada apa yang kita ketahui.

Allah pernah berkata melalui lisan Rasul-Nya (hadis Qudsi):

‘Tiap-tiap perbuatan baik, pahalanya sepuluh kali hingga tujuh ratus kali ganda selain daripada puasa. Maka puasa itu adalah bagi-Ku dan Aku yang membalasinya’.(HR Bukhari)

“Setiap amalan bani adam adalah untuknya, kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) untuk -Ku dan Aku yang akan memberikannya ganjaran. (HR Bukhari)

 

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Muhammad Uzair Izham)

Komen


Berita Berkaitan