Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadhan dan Pemulihan Kejiwaan

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Bulan Ramadhan yang mulia lebih dikenali sebagai bulan di mana umat Islam itu diwajibkan untuk berpuasa, iaitu mereka perlu menahan diri mereka daripada aktiviti makan dan minum di kala siang hari, dan dari segala perkara yang boleh membatalkan puasa dan pahalanya. Pada masa yang sama, mereka juga digalakkan untuk berbuat baik, dan meningkatkan aktiviti dan amalan diri mereka untuk menjadi yang lebih baik lagi. Terdapat dua elemen yang perlu diberi perhatian di sini, jika menurut seperti apa yang difahami, iaitu menahan diri dan memperbaiki, atau menjadi lebih baik lagi.

Dalam ertikata puasa yang sebenarnya, ia bukanlah hanya menahan diri dari aktiviti makan dan minum atau sebarang perkara dan perbuatan yang merosakkan puasa dan pahalanya, tetapi lebih daripada itu. Tidak makan atau minum, ataupun berkelakuan yang tidak baik hanyalah aktiviti fizikal yang kelihatan secara luaran, ia boleh dilihat. Namun apa yang lebih penting ialah bagaimana ibadah puasa itu mampu berperanan dalam mengawal tingkahlaku luaran individu yang berpuasa itu agar terus beristiqomah, sehingga mencapai status orang yang berpuasa secara sempurna, atau puasa khususil khusus, sebagaimana menurut Imam al Ghazali. Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah berkaitan dengan aspek spiritual, kerohanian, kejiwaan dan keimanan seseorang individu itu.

Aspek keimanan dan kerohanian atau kejiwaan adalah satu elemen yang amat subjektif sifatnya. Faktor keimanan inilah yang berkait secara langsung dengan amalan puasa yang juga subjektif keadaannya dan sukar untuk dinilai oleh sesiapa sahaja, melainkan Tuhan Yang Maha Pencipta. Ini sebagaimana menurut firman Allah, seperti melalui lisan Rasulullah s.a.w, di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud ‘Semua amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya’. Dalam ertikata yang lain, puasa bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal dan luaran sahaja, tetapi juga merangkumi aspek dalaman atau kejiwaan dan kerohanian individu. Inilah sebagaimana yang dinyatakan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan mendidik jiwa dan iman, khusus sebagai satu bulan rahmat hanya kepada umat Islam, iaitu dengan melalui ibadah puasa.

Individu yang berpuasa berusaha untuk mendidik dan meningkatkan kekuatan dalaman dan kerohanian atau kejiwaaan mereka. Mereka menahan diri dari godaan hawa nafsu dan keinginan makan serta minum. Mereka menahan diri dari segala keseronokan fizikal yang merosakkan ibadah puasa. Mereka juga menahan diri dari segala perbuatan dan pemikiran yang sia-sia. Mereka juga menahan diri dari sikap bermalas-malasan dan kerehatan tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang produktif. Dalam takrifan puasa yang dituntut, bersabar dan menahan diri perlu diiringi dengan pelbagai amalan dan aktiviti yang boleh mempertingkatkan lagi tahap dan kedudukan mereka secara kerohanian, ke satu tahap yang lebih baik dan lebih tinggi lagi. Perlu bermujahadah. Inilah yang dituntut, iaitu menjadi lebih patuh, lebih taat dan lebih bertakwa. Bukan sekadar terbaring dan terlantar menunggu Syawal menjelang tiba atau menanti tibanya waktu berbuka untuk kembali aktif dan produktif.

Peningkatan kedudukan spiritual atau kerohanian dan kejiwaan ke tahap yang lebih baik adalah objektif ibadah puasa, tetapi bagaimana objektif ini boleh dicapai? Berhubung perkara ini, Imam al Ghazali telah memberikan panduan di mana kedudukan tersebut boleh dinilai atau dikenali individu terbabit melalui cara mereka berpuasa. Menurut beliau, terdapat tiga tahap atau peringkat puasa oleh umat Islam. Pertama ialah peringkat puasa umum. Merupakan peringkat puasa yang paling rendah atau permulaan sahaja. Ini adalah jenis puasa kanak-kanak yang baru belajar untuk berpuasa. Berpuasa adalah sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi tidak membantu ke arah peningkatan ketakwaan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ‘Betapa ramai orang yang berpuasa namun tidak memperolehi sesuatu dari puasanya itu melainkan lapar dan dahaga’. Peringkat kedua ialah jenis puasa khusus dan merupakan puasa orang-orang soleh. Mereka beramal soleh, berilmu dan beramal dengan ilmunya. Mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah serta mengelakkan kemungkaran, maksiat dan dosa.

Manakala peringkat ketiga dikenali sebagai puasa khususil khusus, merupakan jenis puasa peringkat tertinggi, dan diperolehi oleh kalangan para nabi dan rasul serta orang-orang yang bertakwa. Matlamat puasa mereka ialah mencari redha Allah dan berusaha menjauh dari segala yang melalaikan mereka daripada mengingati Allah. Kesimpulan dari sini, kita boleh nilaikan sendiri jenis puasa dan di peringkat mana kedudukan spiritual dan nilai ketakwaan kita, dan adakah puasa kita itu benar-benar sempurna serta mampu mencegah kita dari kancah maksiat dan dosa, termasuklah dosa pembaziran kerana melayan nafsu makan menjelang waktu berbuka.

Apakah kaitan antara aktiviti spiritual dan kejiwaan dengan tingkahlaku luaran? Sememangnya wujud kesatuan dan keseragaman serta interaksi yang bersilang-kait antara aspek kejiwaan dan kerohanian dengan tingkahlaku luaran. Mereka adalah saling mempengaruhi dan memberi kesan antara satu sama lain. Dalam amalan puasa, kekuatan kerohanian dan kejiwaan yang telah terbentuk itu akhirnya akan mendorong tingkahlaku individu untuk terus istiqomah dalam sebarang aktiviti ketakwaan di sepanjang hayatnya. Amalan puasa bukan hanya mendorong kekuatan dalaman dan kejiwaan mereka, tetapi juga mencetuskan dorongan tingkahlaku luaran yang menggambarkan kedudukan dan tahap kekuatan kejiwaan yang dimiliki. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati.” Hati yang telah dididik dengan latihan dan didikan Ramadhan bertindak sebagai nakhoda yang memberi dorongan kepada tingkahlaku individu dan kepada cara mereka berfikir.

Bagaimana amalan puasa dapat mempengaruhi kesihatan mental dan kejiwaan? Kesihatan mental adalah gambaran terhadap kestabilan dalaman atau kejiwaan, meliputi pemikiran dan perasaan serta dorongan tingkahlaku yang tercetus dalam diri individu. Ia akan terserlah dalam bentuk tingkahlaku, cara berfikir dan beremosi, serta kepelbagaian personaliti atau sahsiah yang dimiliki. Menurut Imam al Ghazali, kesihatan mental itu berkaitan dengan akhlak, dan ia adalah manifestasi akhlak seseorang individu. Akhlak pula berkaitan dengan diri, personaliti atau sahsiah mereka, cara mereka berfikir dan berimaginasi, beremosi serta bertindak. Amalan puasa yang dilakukan dengan penuh kesempurnaan akhirnya akan membentuk akhlak dan sahsiah diri yang baik dan seterusnya membantu untuk menghasilkan kesihatan mental yang baik kepada individu.

Didikan untuk menghormati ibadah puasa ini perlu dilakukan sejak dari zaman kanak-kanak lagi agar mereka mudah terdidik dengan kejiwaan yang penuh sabar dan takwa kerana ia akan mempengaruhi kestabilan mental di kala dewasa kelak. Malah, jika diteliti, kebanyakan gangguan mental amat jarang berlaku di zaman kanak-kanak berbanding apabila manusia itu meningkat remaja dan dewasa.

 

(Sumber: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), oleh Khairul Azhar Bin Idris)

Komen


Berita Berkaitan