Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadan Tahun Hadapan Belum Tentu Milik Kita

Gambar Hiasan

 

Ajal maut bukan di tangan kita. Pada awal Ramadan ini saya menerima 2 berita kematian kawan yang masih muda, sihat dan segar bugar.

Kedua-duanya meninggal kerana kemalangan jalan raya. Allah lebih sayangkan mereka. Apa pengajaran untuk kita?

“Hayati dan isilah Ramadan tahun ini sebaik mungkin. Hindari perkara yang boleh kuruskan puasa kita. Realiti semasa menunjukkan puasa ramai muslim di Malaysia kurus kerana komen , ejek sindir dan umpat keji media sosial (Facebook dan Whatsapp group).”

Jika ada group yang rancak menambah dosa tanpa sedar dengan ejekan, sindir dan umpat di alam maya maka eloklah left sahaja. Inilah sebabnya nabi beri panduan ini kepada kita;

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ
Abu Hurayrah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda – Puasa itu adalah perisai (daripada api neraka). Maka janganlah dia berkelakuan keji (seperti bercakap lucah) dan bertindak jahil (bodoh seperti menjerit atau berkelakuan tanpa akhlak). Jika ada sesiapa mencaci atau mencelanya maka ucapkanlah sesungguhnya aku sedang berpuasa sebanyak 2 kali (sebagai penegasan berganda atau sekali pada lidah dan sekali lagi sebagai peringatan pada hati)Sahih al-Bukhari

Ingat! Kalau puasa tahun ini kita terlepas peluang pengisian ibadah kerana sibuk “membawang” dengan berbagai isu panas, puasa tahun hadapan belum tentu milik kita.

Pastinya beza antara 2 Ramadan sudah jauh antara langit dan bumi sebagaimana diceritakan hadith ini:

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عُبَيْدِ اللَّهِ أَنَّ رَجُلَيْنِ مِنْ بَلِيٍّ قَدِمَا عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ إِسْلَامُهُمَا جَمِيعًا فَكَانَ أَحَدُهُمَا أَشَدَّ اجْتِهَادًا مِنْ الْآخَرِ فَغَزَا الْمُجْتَهِدُ مِنْهُمَا فَاسْتُشْهِدَ ثُمَّ مَكَثَ الْآخَرُ بَعْدَهُ سَنَةً ثُمَّ تُوُفِّيَ قَالَ طَلْحَةُ فَرَأَيْتُ فِي الْمَنَامِ بَيْنَا أَنَا عِنْدَ بَابِ الْجَنَّةِ إِذَا أَنَا بِهِمَا فَخَرَجَ خَارِجٌ مِنْ الْجَنَّةِ فَأَذِنَ لِلَّذِي تُوُفِّيَ الْآخِرَ مِنْهُمَا ثُمَّ خَرَجَ فَأَذِنَ لِلَّذِي اسْتُشْهِدَ ثُمَّ رَجَعَ إِلَيَّ فَقَالَ ارْجِعْ فَإِنَّكَ لَمْ يَأْنِ لَكَ بَعْدُ فَأَصْبَحَ طَلْحَةُ يُحَدِّثُ بِهِ النَّاسَ فَعَجِبُوا لِذَلِكَ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَحَدَّثُوهُ الْحَدِيثَ فَقَالَ مِنْ أَيِّ ذَلِكَ تَعْجَبُونَ فَقَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذَا كَانَ أَشَدَّ الرَّجُلَيْنِ اجْتِهَادًا ثُمَّ اسْتُشْهِدَ وَدَخَلَ هَذَا الْآخِرُ الْجَنَّةَ قَبْلَهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَلَيْسَ قَدْ مَكَثَ هَذَا بَعْدَهُ سَنَةً قَالُوا بَلَى قَالَ وَأَدْرَكَ رَمَضَانَ فَصَامَ وَصَلَّى كَذَا وَكَذَا مِنْ سَجْدَةٍ فِي السَّنَةِ قَالُوا بَلَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَمَا بَيْنَهُمَا أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ

Talhah bin Ubaydillah menceritakan, pada suatu hari 2 orang lelaki dari Suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Keduanya mereka memeluk islam secara serentak. Seorang dari mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid.

Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian diapun meninggal dunia. Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu mengizinkan lelaki yang mati kemudian memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan mengizinkan lelaki yang gugur syahid itu memasuki surga, kemudian dia datang semula kepadaku dan berkata: “Engkau pulanglah, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.”

Menjelang pagi hari Talhah menceritakan apa yang dilihatnya dalam mimpi kepada orang ramai, maka mereka semua hairan dengan mimpinya.

Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada baginda. Tanya baginda: Apa yang menghairankan kamu semua? Mereka menjawab: Wahai Rasulullah SAW lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga. Jawab Nabi SAW: Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun? Jawab mereka: Benar. Sambung baginda lagi: Bukankah dia telah mendapati bulan Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu? Jawab mereka: Benar. Sabda Nabi SAW: Maka beza antara mereka lebih jauh dari langit dan bumi.”Sunan Ibn Majah

Oleh itu, diingatkan jangan merosakkan puasa anda dengan aktiviti yang tidak berfaedah di media sosial!

(Sumber: Tazkirah.net oleh Abdullah Bukhari)

Komen


Berita Berkaitan