Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadan Madrasah Membentuk Sahsiah Terpuji

Gambar Hiasan

 

Allah S.W.T. menjadikan manusia terdiri daripada komponen-kompenen yang sangat unik serta memiliki pelbagai fungsi antaranya ruh, akal, jasad, jiwa dan nafsu.

Kesemua komponen-komponen ini mempunyai tugas-tugas yang tersendiri bagi mengimbangi antara keperluan dan kehendak manusia itu sendiri. Adapun,komponen nafsu mempunyai tarikannya yang tersendiri. Kata Hukama’;

‘’Nafsu itu ibarat bayi,jika engkau biarkan dia menyusu,tumbuhlah membesar.Jika engkau sapih,maka dia berhenti.Maka,hindarilah keinginananya dan berwaspadalah.Apabila engkau mempertuankan nafsu,maka hina dinalah.’’

Ramadan merupakan madrasah yang paling ampuh buat para mukmin yang ingin mendidik serta mengekang hawa nafsu mereka.

Seringkali madrasah Ramadan juga dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk membuang segala tingkah laku serta akhlak mazmumah serta diisi dengan akhlak mahmudah.

Pun begitu,manusia terkadang kecundang setelah berakhirnya madrasah Ramdhan kerana kehadiran Syawal yang mempesonakan. Hal ini kerana manusia gagal memahami tentang psikologi tabiat dirinya hingga mengakibatkan rutin yang dibentuk hanya bersifat sementara.

Bagaimana Membentuk Tabiat Atau ‘Habit’?

Satu kajian yang dibuat oleh para pengkaji Barat mengenai bagaimana tabiat atau kelakuan seseorang itu dibina dan terbentuk.

Tabiat atau ‘habit’ dapat difahami sebagai tingkahlaku kebiasaan dan spontan samaada semasa sedar atau diluar sedar. Secara asasnya, tabiat dapat dibentuk melalui dua perkara yang utama ; cetusan(cue) dan juga ganjaran(reward).

Pada peringkat awal,tabiat yang dibentuk masih didalam kawalan namun berubah apabila menjadi kebiasaan dan rutin harian.

Sebagai contoh,kebiasaan(habit) manusia selepas bangun dari tidur ialah menggosok gigi.Hal ini kerana rutin tersebut telah dibentuk sejak dari kecil. ’Cue’ atau cetusan kepada tabiat ini ialah membersihkan mulut,manakala ‘reward’ atau ganjaran kepada tabiat ini ialah mulut berbau harum.

Sebagai contoh lain,pernahkah anda sedar tentang perbuatan anda yang makan beberapa biji cucur yang sedang anda goreng? Atau adakah anda sedar tentang kata-kata yang anda keluarkan semasa anda terkejut?

Hal ini kerana otak anda telah menerima rangsangan awal tentang tindakan anda apabila situasi yang sama telah berlaku.

Lalu, otak tidak lagi memerlukan daya berfikir apabila situasi yang sama berulang, sebaliknya hanya memberi isyarat untuk bertindak sepertimana kebiasaan diri anda. Begitulah asas kepada pembentukan tabiat dalam kehidupan manusia.

Adakah Perkara Yang Diulang-Ulang Boleh Dihentikan Atau Diubah?

Ya,kebiasaan(habit) atau tabiat adalah satu rutin yang diulang-ulang dan boleh dihentikan serta diubah dengan syarat menggantikan tabiat tersebut dengan satu perkara yang baru.

Tabiat baru tersebut memberi rangsangan lain kepada otak anda agar isyarat yang dihantar oleh otak dapat memberikan respon/tindakan yang berbeza dengan respon/ tabiat yang sebelumnya.

Dengan pengulangan yang cukup, otak akan menghilangkan ‘shortcut’ kepada tabiat lama dan memberi masa kepada otak untuk menilai dan memilih reaksi yang sesuai bagi ransangan yang lama itu.

Apabila reaksi yang baru ini pula diulang-ulang, otak akan mencipta pula ‘shortcut’ yang baharu, menjadikan tabiat lama tersebut berjaya diprogram semula kepada tabiat yang baru.

Formula ini terpakai kepada semua jenis tabiat dalam kehidupan manusia,termasuklah tabiat merokok, ketagihan pornografi dan lain-lain. Dua asas utama dalam pembentukan tabiat perlu dipegang kemas untuk mencipta atau mengubah kepada tabiat yang baru.

Berdasarkan pengalaman penulis,penulis ingin menghentikan tabiat ketagihan coklat yang dialaminya. Maka, penulis mengaplikasikan dua formula utama tersebut dan menjadikannya rutin.

Kebiasaan penulis ialah makan coklat semasa membaca buku dan ketika mengalami tekanan. Maka, penulis mengubah objek(coklat) tersebut kepada satu objek yang baru iaitu buah.

Apabila penulis rasa ingin mengunyah atau tertekan (cue/cetusan), penulis mencapai buah (tabiat sebelumnya mencapai coklat). Lalu penulis berasa gembira dan kenyang (reward/ganjaran).

Tindakan ini diulang-ulang sehingga menjadi satu rutin dan penulis berjaya menghilangkan ketagihan coklat itu. Formulanya;

#1- Tetapkan rangsangan/cetusan(cue) anda
Contohnya: lapar, stress atau menginginkan kepuasan dalam sesuatu perkara

#2- Jelas dengan ganjaran(reward) yang bakal anda perolehi
Contohnya : kenyang, gembira dan lain-lain

Bagaimana Al-Quran Dan Sunnah Nabi Mendidik Kita?

Allah S.W.T berfirman ;

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ طَرَفَيِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ ۚ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ ذَٰلِكَ ذِكْرَىٰ لِلذَّاكِرِين

Dan dirikanlah sembahyang itu pada kedua tepi siang (pagi dan petang) dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.Surah Hud: 114

Allah mendidik kita untuk sentiasa melakukan kebaikan hingga kebaikan tersebut menjadi rutin dan kebiasaan kita.Seseorang yang terbiasa denga perkara-perkara kebaikan akan merasa canggung dengan keburukan yang dilakukannya.

Bahkan,mukmin tersebut akan bersegera bertaubat serta menambah amal kebajikannya untuk menghapuskan dosa-dosa mereka. Daripada Abu Zar Jundub ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu’az ibn Jabal R.A. daripada Rasulullah SAW bersabda;

‘’Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada, dan iringilah kejahatan dengan kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik.’’ Riwayat At-Tirmizi

Ramadan Madrasah Rutin Hasanah

Ramadan merupakan madrasah terbaik dalam membentuk rutin yang hasanah.Terdapat berbagai-bagai sunnah Rasulullah S.A.W yang boleh diamalkan sepanjang Ramadan dan disertai dengan ganjaran (reward) yang melipat ganda.

Sunnah-sunnah ini boleh dijadikan sebagai satu cetusan (cue) untuk meraih ganjaran (reward). Pun begitu, untuk mengekalkan rutin yang baik ini selepas berlalunya bulan Ramadan, anda disarankan untuk meletakkan satu cetusan (cue) yang jelas yang boleh diaplikasikan juga diluar bulan Ramadan.

Sebagai contoh, anda ingin menjadi seorang mukmin yang menghayati Al-Quran. Lalu, anda melakukan rutin harian dengan membaca dua muka surat Al-Quran serta tadabburnya selepas setiap solat fardu didalam bulan Ramadan.

Hasilnya, anda lebih memahami serta menghayati Al-Quran di dalam bulan Ramadan dan diluar bulan Ramadan setelah menjadikan amalan tersebut sebagai satu tabiat.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

“Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Justeru itu wahai para mukmin, janganlah berputus asa dan teruskanlah berusaha untuk membentuk tabiat yang baik serta membuang tabiat buruk. Sesungguhnya rahmat Allah itu Maha Luas.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Farah Atiqah)

Komen


Berita Berkaitan