Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Ramadan bukan penghalang malim gunung pikul tugas

PENGERUSI Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan membeli bekal untuk berbuka puasa sebelum memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu dari Timpohon Gate. – Foto Lano Lan

 

KUNDASANG: Mendaki Gunung Kinabalu pada hari biasa pasti tidak mendatangkan masalah bagi malim gunung, tetapi apabila dilakukan ketika berpuasa ia memerlukan ketahanan yang lebih ekstrem.

Mereka bukan saja memerlukan ketahanan fizikal, malah menagih kecekalan serta kekuatan mental dalam menghadapi cabaran pendakian terutama menahan lapar dan dahaga.

Namun, Ramadan tidak pernah menjadi penghalang bagi malim gunung untuk meneruskan tugas membawa pelancong mendaki Gunung Kinabalu.

Walaupun terpaksa mengharungi pendakian sejauh kira-kira enam kilometer dari kaki gunung sehingga ke penginapan Laban Rata dalam keadaan berpuasa, ia sudah menjadi kebiasaan kepada malim gunung yang beragama Islam.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan, 40, berkata meskipun Ramadan, ramai pelancong terutama dari luar negara tetap datang untuk mendaki gunung.

Katanya, mereka tiada pilihan dan perlu meneruskan tugas harian itu yang menjadi sumber pendapatan tetap kepada kebanyakan malim gunung dan ‘porter’.

“Membawa pelancong dalam keadaan berpuasa sememangnya mencabar. Sekiranya mereka bergerak cepat maka kami juga terpaksa pantas dan ini biasanya pelancong ‘mat saleh’. Kami perlu menggunakan tenaga yang banyak.

“Apa yang berbeza pada puasa, kami perlu membawa bekalan untuk berbuka kerana bimbang pergerakan pelancong yang dibawa perlahan. Pernah ada pelancong sampai ke pusat penginapan Laban Rata sekitar jam 7 hingga 8 malam dan kami terpaksa berbuka di pertengahan pendakian,” katanya ketika ditemui NSTP, baru-baru ini.

Menurutnya, untuk bersahur pula mereka perlu bangun seawal jam 2 pagi dan makan sebelum memulakan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Katanya, mereka akan makan semampu yang boleh untuk mendapatkan bekalan tenaga kerana kebiasaannya kurang selera makan ketika berada di altitud yang tinggi.

Malim gunung, Airil Zidan Robin, 36, berkata persiapan awal penting dalam menghadapi tugas membawa pelancong di bulan puasa.

Katanya, makanan tambahan perlu dibawa sepanjang pendakian kerana bimbang akan berlaku kekurangan mineral dalam badan sehingga menyebabkan kekejangan.

“Begitu juga ketika bersahur, kami mengambil air secukupnya dan makanan berkhasiat yang mampu memberi banyak tenaga.

“Sebaliknya ketika berbuka, kami tidak boleh makan banyak untuk mengelak terlalu kenyang sehingga menyukarkan pendakian naik ke puncak pada awal pagi keesokkan harinya.

“Pendakian ketika berpuasa pasti memerlukan ketahanan mental. Ini kerana kita mudah hilang fokus dan mungkin mengakibatkan sesat jalan atau kemalangan,” katanya.

Airil berkata, sebaiknya pendakian dilakukan secara berkumpulan lebih digalakkan untuk memudahkan pemantauan pendaki yang dibawa. –¬†Oleh Fardy Bungga/BH Online

PENGERUSI Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan memulakan pendakian ke Gunung Kinabalu. – Foto Lano Lan

Komen


Berita Berkaitan