Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RALEIGH BORNEO BAKAL TUTUP OPERASI DI SABAH SELEPAS HAMPIR 31 TAHUN

Sukarelawan antarabangsa, Raleigh International bersama sukarelawan tempatan duduk dalam formasi “31” yang membawa maksud penjelajahan ekspedisi Raleigh Borneo selama 31 tahun di Sabah. Gambar SNT/Ehsan Daniel Buttifant/Raleigh International

KOTA KINABALU: Pertubuhan sukarelawan antarabangsa, Raleigh Borneo bakal menamatkan operasinya di Sabah pada Oktober tahun ini setelah hampir 31 tahun menabur bakti kepada penduduk khususnya di pedalaman negeri ini.

Bagaimanapun, tugas itu akan diteruskan oleh Raleigh Malaysia yang terdiri daripada Raleigh Kuala Lumpur dan Raleigh Sabah dengan sukarelawan terlatih terdiri daripada rakyat tempatan sepenuhnya.

Ketua Raleigh Antarabangsa, Dr. Brandon Charleston berkata, langkah menutup operasi Raleigh Borneo yang membawa ramai sukarelawan antarabangsa ke Sabah sejak tiga dekad lalu dilakukan setelah beberapa pertimbangan dibuat oleh pihaknya.

“Keputusan itu sukar tetapi ia kami berasakan ia perlu selepas penilaian dilakukan terhadap projek-projek komuniti yang telah kami laksanakan selama beberapa tahun ini termasuk dalam melatih sukarelawan Raleigh tempatan.

“Malaysia adalah negara yang tinggi daripada segi Indeks Pembangunan Manusia (HDI) berbanding dengan negara lain yang pernah kami lawati untuk melaksanakan projek komuniti,” katanya ketika berucap dalam majlis penutupan Ekspedisi Raleigh Borneo di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu, di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Negeri, Frankie Poon yang diwakili oleh Ketua Penolong Setiausaha Kementerian itu, Md. Jaidin Md. Yassin. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Tengku Datuk Seri Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood.

Dalam pada itu, Brandon berkata, pihaknya telah membuat komitmen bagi menyokong golongan muda di negara yang mencatatkan HDI rendah dan sederhana dalam strategi yang dirangka oleh pertubuhan itu bagi tempoh 2017 – 2020.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan dan menjayakan pembangunan mapan sebagai rakan kongsi di negara-negara berkenaan sekaligus dapat memenuhi matlamat dan sumbangan ke arah Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) yang digariskan. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan