Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rakyat Sarawak Perlu Nilai Prestasi Pembangkang – Salleh

11:40pm 03/05/2016 Pak Roshan 26 views Mutakhir,Politik
Datuk Sri Salleh Said Keruak

Datuk Sri Salleh Said Keruak

KUCHING : Rakyat Sarawak perlu sedar hakikat prestasi buruk wakil rakyat pembangkang yang gagal memenuhi harapan rakyat dan sebaliknya hanya pandai bercakap, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Justeru, beliau menggesa pengundi Sarawak supaya betul-betul membuat penilaian sebelum memangkah kertas undi pada pilihan raya negeri, Sabtu ini.

Beliau menegaskan bahawa sememangnya wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang banyak membantu menyelesaikan masalah masyarakat di negeri ini.

“Sebenarnya apa yang dibangkitkan oleh pembangkang kebanyakannya sudah diselesaikan oleh kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan ketua menteri (Tan Sri Adenan Satem),” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Randau Sejiwa Senada’ terbitan TV1, hari ini.

Turut menjadi tetamu dalam rancangan tersebut adalah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Anggota Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Salleh berkata walaupun Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dengan rakyat bebas memilih pemimpin, namun ia perlu dibuat dengan teliti supaya keputusan diambil tidak menghancurkan negara.

Beliau menegaskan pembangkang bukanlah pilihan terbaik buat rakyat Sarawak kerana mereka tidak mempunyai dasar yang meyakinkan.

Katanya, percakaran sesama sendiri antara pembangkang dalam merebut kawasan untuk bertanding selain tidak mempunyai manifesto bersama pada pilihan raya negeri ini menunjukkan ketidakmampuan mereka untuk mentadbir negeri.

“Mereka (DAP dan PKR) bertanding (sesama sendiri) di enam kawasan, kalau itu pun tidak boleh diurus, bagaimana untuk mengurus negeri. Kerana akhirnya mereka berpolitik adalah untuk berpolitik.

“Sedangkan politik itu pada kita adalah wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat,” kata Salleh yang mengajak rakyat untuk memberi mandat besar kepada BN.

Salleh turut menyenaraikan tiga sebab kenapa rakyat Sarawak perlu memilih BN pada pilihan raya itu – faktor Adenan yang berjuang untuk rakyat Sarawak, agenda pembangunan yang jelas dibawa BN dan rekod baik BN sepanjang mentadbir negeri.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata hubungan baik antara Adenan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan lebih memudahkan kehendak rakyat Sarawak dipenuhi.

“Perdana menteri telah melawat Sarawak lebih 50 kali dan setiap lawatan bukan hanya ceramah kosong, ada sahaja perkara yang diminta ketua menteri diisi oleh perdana menteri dengan sumber kewangan dan dasar-dasar tertentu,” katanya.

Wan Junaidi yakin jika BN kekal memerintah berdasarkan sokongan padu rakyat Sarawak, segala aspirasi mereka akan dapat dipenuhi.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan