Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

RAKYAT SABAH TUNJUK SEMANGAT PATRIOTISME

Masniah (kiri) dan adiknya Maslinah mengambil peluang merakamkan suasana Hari Kebangsaan bersama pelancong British, John Turner (kanan) serta keluarga. -Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Sempena sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 ini, sudah pasti pelbagai ragam yang ditunjukkan oleh pengunjung-pengunjungnya.

Ada yang menterjemahkan semangat patriotisme masing-masing dengan pelbagai cara dari segi fizikal mental dan tidak ketinggalan dengan pakaian mereka.

Masniah Majuk, 19, turut melahirkan rasa bersemangat menyambut hari Kebangsaan dengan pakaian yang dibuat menggunakan Jalur Gemilang bersama adiknya Maslianah Majuk, 10.

Masniah yang berasal dari Pulau Gaya berkata, beliau sangat teruja untuk mengenakan pakaian itu bersama-sama adiknya bagi menyambut hari Kebangsaan.

“Baju ni sebenarnya ibu yang buat sejak 15 Ogos lalu dan memang saya biasa memakai pakaian yang dibuat daripada jalur gemilang sejak tiga tahun lalu untuk meraikan sambutan ini.

“Ini sebagai satu tanda kebanggaan saya kepada negara yang kini kita hidup aman dan damai.

“Walaupun ada yang mengatakan negatif berkenaan baju ini, tapi saya tidak mengendahkannya. Sebagai rakyat Malaysia kita kena bangga dan ini cara saya menghargai pengorbanan orang-orang terdahulu dalam memperolehi keamanan negara, dan saya tidak akan segan memakainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya hari ini.

Adiknya, Maslinah turut bersemangat mengenakan pakaian jalur gemilang buat kali pertama ke sambutan seperti ini.

Katanya, walaupun ibunya mula membuat baju berkenaan sejak 15 Ogos, tetapi beliau tidak sabar-sabar untuk memakainya.

“Saya bangun seawal jam 5 pagi untuk bersiap dan terus memakai baju jalur gemilang sambil menunggu kakak.

“Baju ini baru sahaja siap dan semalam ibu memberikan pada saya. Sudah pasti saya bangga menjadi orang Malaysia dengan mengayakan pakaian berunsurkan jalur gemilang,” katanya.

Sebaliknya, Milcah Thomas, 33, mengenakan pakaian sedondon seisi keluarga sebagai menyatakan semangat kebangsaan mereka.

Keluarga Milcah memakai batik ketika menghadiri Hari Kebangsaan hari ini. -Gambar SNT/Alfred Petrus

Beliau yang tinggal di Kampung Suang Parai itu datang ke Dataran Bandaraya seawal jam 7 pagi lagi memakai baju batik yang juga salah satu kesenian di Malaysia.

“Saya dengan keluarga sememangnya merancang untuk memakai baju batik rekaan sendiri.

“Ini sesuatu yang unik tetapi ia boleh menunjukkan semangat kebangsaan dalam diri kita.

“Sudah pasti ini kali pertama kami menyertai hari kebangsaan ini dan seorang anak saya juga mengikuti perarakan pada hari ini,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pelancong dari London John Turner bersama tiga lagi ahli kelurganya berasa sangat terkejut dengan kemeriahan pada sambutan berkenaan.

Sebahagian orang ramai yang menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2018 di Dataran Bandaraya, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Pada awal pagi, kami dikejutkan dengan bunyi bising dari luar bilik penginapan kami, namun setelah melihat apa yang terjadi, kami sekeluarga bersiap dan turut serta dalam acara ini.

“Ia sangat menyeronokkan kerana di negara kami tidak ada seperti ini.

“Orang-orang di sini juga sangat mesra dengan orang luar. dan di tempat kami tidak menyambut hari kebangsaan seperti ini,” jelasnya.

Beliau dan isterinya Sarah Turner bersama dua orang anaknya sudah berada di Sabah sejak tiga minggu lalu untuk melancong ke seluruh pelusuk kepulauan Borneo. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan