Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,689

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rakyat Sabah Pejuang Sebenar, Elak Negeri Dicerobohi

najib

KUALA LUMPUR – Rakyat Sabah merupakan pejuang sebenar yang sanggup mempertahankan setiap inci negeri itu daripada dicerobohi oleh mana-mana pihak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata rakyat Sabah telah mencapai kemajuan jati diri sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, dan atas faktor itu serta tanpa mengira bangsa dan keturunan, mereka sanggup mempertahankan negeri kelahiran daripada sebarang pencerobohan.

Najib berkata demikian dengan merujuk kepada lagu ‘Anak Kampung’ nyanyian artis kelahiran Sabah, Jimmy Palikat, yang membuat persembahan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan 2016 anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kerajaan Negeri Sabah di Pusat Pelancongan Malaysia di sini, malam ini.

“Lagu ‘Anak Kampung’ ini sangat popular di seluruh negara tetapi liriknya saya kurang setuju kerana ia menunjukkan sifat seseorang yang cepat sangat nak menyerah kalah…tapi itu lagu sahaja. Orang Sabah ini adalah pejuang sebenarnya,” kata Najib semasa berucap merasmikan majlis rumah terbuka itu.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Majlis rumah terbuka itu berlangsung dua hari mulai hari ini.

Mengenai sektor pelancongan Sabah, Najib berkata Negeri Di Bawah Bayu itu berpotensi memajukan sektor pelancongannya berikutan kerajaan melaksanakan pelbagai projek besar di negeri itu.

“Antara projek kerajaan yang akan memberi manfaat kepada Sabah ialah pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah yang dijadual siap pada 2018, Lebuhraya Pan Borneo dan pelbagai projek lain,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata Lebuhraya Pan Borneo akan menghubungkan semua kawasan di Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kudat dan Tawau, dengan perjalanan ke kawasan itu menjadi lebih mudah hasil usaha kerajaan pimpinan BN.

Selain itu, Najib berkata Masidi memberitahunya bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menerima 46 penerbangan dari China dalam tempoh seminggu yang tidak termasuk penerbangan sewa khas.

Mengenai Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tadau Kaamatan, perdana menteri berkata rakyat Malaysia perlu menghormati kebudayaan tempatan setiap negeri di negara ini, yang selari dengan falsafah 1Malaysia demi memastikan Malaysia terus aman dan makmur.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kerana menganjurkan sambutan ‘Tadau Keaamatan’ yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur.

“Sambutan orang ramai terhadapnya sungguh baik dan saya berharap kementerian akan menganjurkan lebih banyak acara kebudayaan sebegini pada masa hadapan,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata perdana menteri dan kerajaan pusat telah menunjukkan keprihatinan terhadap kebudayaan negeri itu menerusi penganjuran sambutan pesta Kaamatan dan Tadau Keaamatan itu.

“Di samping mengiktiraf sambutan ini sebagai antara perayaan di peringkat nasional, kerajaan pusat terutamanya Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam memartabatkan lagi keunikan dan keistimewaan khazanah budaya tradisi Sabah,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pairin.

Musa berkata kerajaan negeri dan rakyat Sabah akan terus memberi sokongan dan komitmen tinggi kepada usaha-usaha pembangunan kerajaan pusat dalam memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ada di Sabah termasuk dalam aspek budaya dan tradisi untuk terus dipelihara. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan