Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rakyat Sabah Harus Kekalkan Perpaduan – Musa

Datuk Seri Musa Aman

Datuk Seri Musa Aman

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman menyeru rakyat Malaysia di negeri ini supaya mengekalkan perpaduan dan menolak usaha oleh pihak-pihak tertentu untuk menyemai kebencian di kalangan rakyat.

Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Merdeka pada Selasa, Musa berkata pihak-pihak terbabit menggunakan agama dan kaum untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat.

“Ia amat membimbangkan untuk melihat kebencian seumpama itu disebarkan melalui platform media sosial, dengan berita-berita terkeluar daripada konteks dan dikongsi berkali-kali, menyebabkan wujud keresahan di kalangan mereka yang membaca berita itu yang biasanya tidak disahkan,” katanya.

Beliau berkata satu daripada sumbangan terbesar Sabah bagi kejayaan Malaysia ialah perpaduan dan keharmonian yang diamalkan di negeri ini yang menjadi contoh bagi Malaysia.

Sebagai sebagai rakyat Malaysia, mereka perlu membantu satu sama lain dan saling menghormati rakan senegara mereka tanpa mengira bangsa, agama atau negeri asal-usul mereka, kata beliau.

Musa juga mengingatkan semua rakyat Sabah supaya berfikir sebagai rakyat Malaysia dan bekerjasama antara satu sama lain untuk membawa negara ke mercu kejayaan lebih tinggi kerana cara pemikiran sempit menghalang rakyat Malaysia menempa kejayaan lebih besar untuk negara.

“Perpaduan kita di Sabah ialah kekuatan kita, dan kita tidak harus menghakisnya dengan menyokong gesaan yang menjejaskan keharmonian. Demonstrasi jalanan dan perhimpunan bukan sebahagian daripada budaya kita dan ia boleh mengganggu, memecahbelahkan rakyat dan membawa kehancuran kepada negara,” kata Musa.

Musa turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa hubungan kukuh yang terjalin antara kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan membolehkan Sabah dan rakyatnya membangun seiring dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Musa berharap bahawa jurang kemajuan antara Sabah dan neger-negeri lain dirapatkan melalui beberapa dasar yang telahpun dilaksanakan.

Beliau berkata, Sabah kini mempunyai infrastruktur lebih baik di kebanyakan bahagian di negeri ini tetapi itu tidak bermakna bahawa tugas telah selesai tetapi kita harus melipatgandakan usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan di kalangan rakyat Malaysia di Sabah.

Mengenai keselamatan, Musa berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan pelbagai usaha telah dijalanan untuk mengukuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) untuk memastikan kedaulatan Sabah tidak tergugat.

“Saya berharap semoga Sabah terus menikmati kestabilan politik supaya kita dapat menunaikan janji kepada rakyat. Sempena Hari Merdeka ini, marilah kita semua berikrar untuk bekerjasama dan terus bersatu,” kata Musa.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan