Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rakyat perlu terus komited jaga keharmonian – Mohd Shafie

KOTA KINABALU, 25 Ogos (Bernama) — Kerajaan sentiasa komited untuk mengangkat agenda penyatuan nasional demi mempertahankan perpaduan sejagat di negara ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat terus memberi komitmen untuk bersama-sama menjaga keharmonian antara kaum dan agama dengan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu budaya etnosentrisme dan perkauman bersarang dalam diri rakyat sehingga menjejaskan hubungan antara kaum khususnya di Sabah.

“Sabah terdiri daripada pelbagai etnik dan agama yang sudah tentu menjadi keunikan dan khazanah berharga yang perlu dipelihara secara turun temurun. Dengan itu marilah kita bersama-sama menjaga sensitiviti dan menghormati kepelbagaian kepercayaan yang wujud di negeri ini,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar pada majlis perasmian penutupan program keharmonian antara agama, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Malaysia Datuk Baharin Idris dan Pengarah JPNIN Sabah Delin Liet Blaun.

Mengenai program itu, Mohd Shafie berkata ia sangat bertepatan untuk memupuk persefahaman dan semangat toleransi di antara para pemimpin agama di seluruh negara menerusi dialog antara agama yang berteraskan kepada dua paksi hukum agama asas yang diterima ramai iaitu “Kasihilah Tuhanmu dan Kasihilah Sesamamu” tanpa mengira kaum dan agama.

“Sesuatu kemusykilan yang timbul melibatkan isu keagamaan mampu diselesaikan dengan diuruskan secara berkesan apabila wujud ruang interaksi dialog dan perbincangan yang positif demi mewujudkan persekitiran yang harmoni dalam komuniti.

“Budaya membanding-bandingkan sesuatu kepercayaan dan kemudiannya membahaskannya demi memperoleh kebenaran bukanlah cara yang sesuai untuk dipraktikkan di sesebuah negara demokrasi yang terdiri daripada pelbagai kepercayaan, budaya dan kaum kerana sensitiviti masyarakat berbilang kaum perlu dijaga,” tambahnya.

Beliau berkata keamanan dan kedaulatan negara perlu terus dijaga kerana hanya melalui perpaduan antara kaum yang membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan dasar pembangunan negara untuk manfaat rakyat.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan