Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rakyat Nikmati Perkhidmatan Kesihatan Terbaik

TAWAU – Rakyat menikmati perkhidmatan rawatan kesihatan terbaik berikutan keprihatinan kerajaan yang menyediakan peruntukan tinggi setiap tahun untuk sektor itu, kata calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. 

Beliau berkata kerajaan BN sedar tentang pentingnya rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan terbaik dengan hanya membayar RM1 untuk mendapatkan perkhidmatan itu di hospital dan klinik kerajaan.

“Di negara lain jika seseorang wanita yang hendak melahirkan anak kena ada duit, kena sediakan kelengkapan- kelengkapan lain, tetapi di negara ini hanya perlu bayar berapa ringgit sahaja, mereka boleh bersalin tanpa kerisauan apa-apa.

“Ubat-ubat pun hanya bayar RM1 untuk dapatkannya… ini bukti kerajaan BN mengutamakan kesihatan rakyat, kalau di negara lain kena bayar beratus ringgit untuk dapatkan ubat,” katanya ketika berucap dalam program bersama rakyat di Kampung Batu Payung di sini.

Hadir sama pada program itu calon BN yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tawau Datuk Mary Yap Kain Ching dan calon BN DUN Sri Tanjong, Lo Su Fui dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei ini.

Dalam pada itu, Nizam menasihatkan penduduk agar tidak tersalah sokong calon parti pembangkang yang hanya datang lima tahun sekali ketika musim PRU dan selepas itu menghilang tanpa jejak.

“Dulu ada calon bertanding atas gambar mata, lepas itu bertanding lagi atas gambar gunung, kemudian hilang lagi dan muncul balik masa PRU sahaja, jadi jangan sesekali rakyat percaya dengan pembangkang ini,” katanya.

Kerajaan BN, katanya akan sentiasa membawa pembangunan dan kemajuan kepada rakyat secara berterusan yang telah terbukti selama ini dan tidak perlu diragui.

Sementara itu, Lo pula menyifatkan pembangkang seperti ayam yang berkokok lima tahun sekali dan hanya mengeluarkan telur sekali sahaja kemudian senyap selepas itu.

Katanya, perkara itu berbeza dengan BN walaupun telah lama bertapak di negara ini tetapi masih kukuh dan tetap relevan dalam meneraju negara hingga ke mercu kegemilangan dengan masa hadapan yang terjamin.

Nizam dan Lo ialah calon muka baharu BN dengan masing-masing menghadapi persaingan empat penjuru. – BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan