Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,715

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rakyat Malaysia Perlu Berpandangan Luas Untuk Capai Agenda Besar Negara – PM Najib

6:58pm 12/11/2016 Pak Roshan 135 views Berita Pilihan,Mutakhir,Politik

najib

PENAMPANG : Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak seluruh rakyat Malaysia agar membudayakan sikap berpandangan jauh dan berfikiran luas untuk menjadikan agenda besar Malaysia menjadi negara kelas pertama, suatu realiti.

Perdana Menteri berkata rakyat Malaysia tidak harus terkongkong dan menyibukkan diri dengan hal remeh-temeh kerana keadaan seperti itu cuma akan menyebabkan negara ini akan tertinggal jauh ke belakang berbanding negara lain.

“Kita ada agenda besar. Kita bukan nak jadi negara kelas kedua, bukan. Kita tidak mahu menjadi negara biasa-biasa sahaja. Kita mahu Malaysia menjadi negara terbaik di kalangan yang terbaik di muka bumi ini.

“Sebab itulah, saya mencadangkan Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 inilah satu proses dialog dari akar umbi. Apa tujuannya? tujuannya untuk menentukan hala tuju baharu untuk meletakkan Malaysia ini di puncak kegemilangan sebagai sebuah negara kelas pertama yang boleh kita banggakan,” katanya.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di Pusat Kebudayaan Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Madius Tangau, Presiden Kehormat Upko yang juga Duta Malaysia ke Holy See Tan Sri Bernard Dompok serta pemimpin parti komponen BN.

Menurut Najib, rakyat Malaysia perlu melihat ke hadapan dan sebagai perdana menteri, beliau akan terus bersikap terbuka dan merendah diri dalam melayani apapun rungutan dan permintaan rakyat untuk memastikan agenda besar negara tercapai.

Sebagai contoh, katanya, beliau bersikap terbuka dalam soal Perjanjian Malaysia 1963 dalam Perlembagaan Malaysia dan sekiranya ada perbezaan tafsiran, pintu sentiasa terbuka untuk perkara itu dirundingkan.

“Saya tak nak ambil hak orang Sabah. Hak orang Sabah saya nak ia dipertahankan. Tapi saya minta jangan kata kami mahu keluar dari Malaysia. Tidak..Tidak…Tidak. Kita di dalam satu keluarga, kita tetap bersama dalam ikatan Malaysia,” katanya disambut tepukan dan sorakan gemuruh daripada kira-kira 1,750 perwakilan Upko.

Menurut Najib, beliau akan memastikan Sabah terus maju dengan pembangunannya mengimbangi kemajuan yang telah dicapai di Semenanjung dan akan terus memberi ruang kepada rakyat untuk mengemukakan tuntutan mereka.

Najib juga menafikan tuduhan seorang bekas pemimpin negara bahawa beliau sebagai tidak demokratik kerana pada zaman pemerintahan pemimpin berkenaan, beratus-ratus orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika itu.

“Orang itu kata saya ini tidak demokratik. Siapa lebih demoratik, yang menahan beratus-ratus (orang) di bawah ISA dahulu?..orang itu hari ini kata orang lain tidak demoratik,” katanya.

Katanya rakyat hari ini sudah bijak dan tidak boleh ditipu kerana mereka sudah tahu membezakan antara kaca dan permata.

Menurut Najib pemimpin berkenaan tidak sepatutnya menyalahkan orang lain kerana pada zaman pemerintahannya banyak kesalahan yang telah dilakukannya.

“Saya (seorang yang) merendah diri… saya tak kata saya sempurna, tapi janganlah orang yang lebih tidak sempurna mengata orang (lain) tak sempurna,” kata Najib.

Mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah, Najib berkata Presiden Filipina Rodrigo Duterte, semasa kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini bersetuju untuk menerima rakyatnya kembali.

Najib berharap persetujuan berkenaan akan dapat dilaksanakan dengan penghantaran awal kira-kira 7,000 rakyat Filipina yang kini memenuhi Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah.

Katanya selepas PTS berkenaan dikosongkan, PTS berkenaan boleh digunakan untuk menahan PATI lain yang baharu ditangkap sebelum dihantar balik ke negara asal sehingga rakyat Sabah merasakan bumi Sabah adalah kepunyaan mereka.

— BERNAMAnajib

 

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan