Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rakyat Malaysia Hanya Dibenar Berkahwin Pada Usia 18 Tahun

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini dalam usaha menetapkan had umur minimum rakyat negara ini dibenarkan berkahwin kepada usia 18 tahun.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan media berkata, usaha itu sedang dilaksanakan dengan kerjasama Menteri Hal Ehwal Agama di Pejabat Perdana Menteri.

“KPWKM tegas berpendirian bahawa kanak-kanak perlu diberi peluang mengembangkan potensi sepenuhnya selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

“Perkahwinan pada usia yang terlalu muda jelas bercanggah dengan prinsip perkembangan kanak-kanak dan sewajarnya dielakkan.

“Kementerian sedang dalam usaha bersama Menteri Hal Ehwal Agama di Pejabat Perdana Menteri untuk menetapkan had umur minimum bagi perkahwinan di dalam semua perundangan kepada 18 tahun,” kata kenyataan itu semalam.

Menteri KPWKM ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri sebelum ini, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka (lihat seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kedah 2008).

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat seksyen 10 dan seksyen 21(2))

Menurut KPWKM, Selain daripada mengubah perundangan dan polisi, adalah penting untuk memperkasakan pengetahuan ibu bapa mengenai kesan negatif perkahwinan kanak-kanak.

“Kanak-kanak ini dinafikan hak kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkembangan diri mereka. Kita perlu memperkasakan pengetahuan komuniti bahawa praktis perkahwinan kanak-kanak bersandarkan kepada budaya atau adat adalah salah dan pendidikan serta peluang latihan merupakan kunci kepada masa depan cerah anak-anak kita,” kata kenyataan itu.

DAP sejak beberapa tahun lalu paling lantang menyarankan kerajaan agar meminda undang-undang sivil dan syariah bagi melarang perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah umur dan memastikan umur minimum perkahwinan adalah 18 tahun. mynewshub

Komen


Berita Berkaitan