Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rakyat diminta fahami GST dengan betul

Samsuddin Yahya (tengah) merai ulang tahun Hari Wanita Antarabangsa dalam majlis itu.
Samsuddin Yahya (tengah) merai ulang tahun Hari Wanita Antarabangsa dalam majlis itu.

SANDAKAN – Rakyat diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah parti pembangkang yang cuba memutar belit fakta mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 1 April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, GST bukan satu cukai baharu atau pun cukai tambahan untuk membebankan rakyat, sebaliknya dilaksana bagi meningkatkan kecekapan kerajaan mengutip cukai pada masa akan datang.

Menurut beliau, GST sekali gus akan menghapuskan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan sekarang pada yang kadar berbeza-beza.

“Kita tidak mahu rakyat disogok dengan maklumat tidak tepat mengenai GST oleh parti pembangkang. Sebab itu kita minta rakyat bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan cerita buruk mengenai GST yang sengaja diputar belit bagi menanam kebencian kepada kerajaan sekali gus menarik sokongan politik secara kotor dan jahat.

“GST merupakan sistem percukaian yang telus dan melindungi hak pengguna kerana akan menyukarkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barang untuk mengaut keuntungan berlebihan. Selepas ini segala cukai yang dikenakan akan diselaraskan sebelum ini melalui SST pengguna perlu membayar pada kadar yang berbeza, melalui GST semuanya adalah sama,” katanya semasa penutupan Program Kesedaran dan Kepenggunaan (GST) di Dewan Masyarakat Sandakan, di sini hari ini.

Beliau mengambil contoh, jika sebelum ini sesuatu barang dijual dengan kadar cukai 10 peratus mengikut SST dan selepas pelaksanaan GST, cukai berkenaan akan diturunkan kepada enam peratus dan ini sekali gus melindungi rakyat serta memberi kebaikan kepada mereka untuk jangka panjang.

Malah, beliau memberitahu, kadar enam peratus itu lebih rendah berbanding yang diamalkan di Singapura dan Thailand iaitu tujuh peratus.

Program anjuran Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Parlimen Batu Sapi turut dihadiri oleh wakil dari MIC, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan badan bukan kerajaan (NGO), Kumpulan Marhaban dan Kawasan Rukun Tetangga daripada beberapa kawasan sekitar Parlimen Batu Sapi. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan