Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Raja Muda Perlis Lawat Empat Pulau Di Kudat

rajamuda

PULAU BANGGI (Sabah):  Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menamatkan lawatan sempena Op Pasir di empat buah pulau dalam kawasan Parlimen Kudat hari ini.

Baginda selaku Komander (K) Rejimen 504 Askar Wataniah dengan diiringi Raja Puan Muda Perlis, Major (K) Tengku Lailatul Shahreen Akashah Khalil memulakan lawatan di Pulau Banggi, diikuti Pulau Manawali, Pulau Limau-Limau dan Pulau Mandi Darah.

Op Pasir kali kesembilan yang diadakan sejak 2006 merupakan program tahunan bagi baginda melawat anggota keselamatan yang bertugas di bahagian utara dan selatan negara secara berselang-seli sebagai tanda menghargai sumbangan mereka terhadap keselamatan dan keamanan negara.

Lawatan itu turut disertai ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri di Perlis antaranya Hakim Mahmakah Tinggi Kangar, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, Mufti Negeri, Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Polis Perlis, SAC Zull Aznam Haron, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Datuk Prof Dr Kamaruddin Hussin dan Rektor Universiti Teknologi Mara, Datuk Dr Ahmad Redzuan Abdul Rahman.

Syed Faizuddin turut menyampaikan kuih raya dan buah tangan kepada anggota-pasukan keselamatan bagi menyambut bulan Ramadan.

Di Pulau Banggi, baginda melancarkan majlis mengacau bubur lambuk di Masjid Kampung Perpaduan, menyampaikan sumbangan kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Banggi dan melawat pos kawalan.

Baginda menasihati para pelajar sekolah itu agar berusaha meningkatkan penampilan diri dengan menguatkan disiplin, bersikap rajin, membina sahsiah diri, berbudi pekerti dan suka membantu.

“Hargailah peluang dan kesempatan belajar di sekolah untuk membina potensi anda menjadi rakyat berguna kepada ibu bapa, bangsa dan negara. Ilmu yang dipelajari hendaklah diamalkan untuk berjaya,” titah baginda.

Baginda berdua turut melawat tiga lagi pulau kecil iaitu Manawali, Limau-Limau dan Mandi Darah.

Ketua Kampung Perpaduan, Pulau Banggi, Mahiluddin Zainuddin berkata penduduk pulau tersebut sangat gembira dengan kedatangan baginda berdua.

Esok baginda dijadual menyambung program Titian Kasih di Sekolah Kebangsaan Kudat I dan II dan diikuti majlis berbuka puasa bersama anggota Pasukan Gerakan Am serta melancarkan program promosi makanan Perlis di Hotel Grand Borneo, Kota Kinabalu.

Baginda dan rombongan dijangka berlepas pulang ke Kangar pada Sabtu.

Komen


Berita Berkaitan