Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malaysia Sertai Program Pertukaran Pendidikan Alam Sekitar Menerusi Sidang Video

ranau

RANAU : Empat negara akan mengambil bahagian dalam program pertukaran pendidikan alam sekitar di bawah Projek Eksperimen Pendidikan Kiyosato Jepun (KEEP) bersama Rainforest Discovery Centre (RDC) menerusi sidang video pada tahun ini.

Selain Malaysia, tiga negara lain adalah Taiwan, China dan Filipina.

Penyelaras program tersebut, Cecilia Loreici Lolin berkata program tiga hari itu, yang bermula semalam, membolehkan pelajar yang terlibat di empat negara itu berkongsi pengalaman mereka menerusi sidang video.

Katanya pada tahun ini, penganjuran program itu memasuki edisi yang kesembilan dan RDC memilih tema padi membabitkan 10 pelajar berusia 10 hingga 12 tahun, yang juga anggota Renjer Remaja Sepilok.

“Mereka akan berkongsi pengalaman mereka dalam aktiviti berkaitan padi dengan pelajar di tiga negara lain menerusi sidang video.

“Ini membolehkan mereka memperolehi pengetahuan dan sama-sama meningkatkan tahap kesedaran dalam memulihara alam sekitar,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Program itu dilaksanakan di Sabah Tea dekat sini dan pelajar didedahkan dengan aktiviti berkaitan padi dengan diberikan penerangan mengenai jenis padi, melawat sawah padi di Kampung Marakau dan merasai sendiri pengalaman menuai padi.

Cecilia berkata pelajar di tiga negara lain yang terlibat dalam program itu juga akan menceritakan pengalaman mereka berdasarkan tema yang dipilih.

Menurutnya sidang video diselia oleh penyelaras KEEP berpusat di Kiyosato, Jepun dan pelaksanaan program ini di Malaysia ditaja oleh NEC Corporation Malaysia.

Beliau berkata Pengarah Muzium Dormouse KEEP di Jepun, Dr Shusaku Minato antara fisilitator jemputan program itu di sini.

RDC di Sepilok Sandakan merupakan sebuah pusat pendidikan alam sekitar di bawah Jabatan Perhutanan Sabah.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan