Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,680

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Raikan Perubahan Mereka

9:45am 20/09/2016 Zakir Sayang Sabah 10 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Seringkali dalam perubahan, kita terganggu oleh suasana persekitaran kita.

Bukan mudah berubah meninggalkan kebiasaan lama, menuju kepada kebiasaan yang baru.

Bilal bin Rabah, hendak berubah meninggalkan jahiliah, menuju kepada Islam, pun ditekan dan diseksa oleh tuannya.

Sumayyah, setelah menerima Islam dalam kehidupannya, terus disula oleh tuannya.

Mereka itu inginkan perubahan dalam kehidupan. Kerana mereka tahu gelapnya kehidupan mereka yang lampau, maka mereka ingin bergerak menuju kepada kehidupan yang lebih baik.

Tetapi, mereka itu adalah antara orang-orang yang tidak diraikan perubahan mereka. Mereka melakukan perubahan dalam keadaan disambut dengan pelbagai seksaan dan derita.

 

‘Berubah? Sejak Bila Engkau Jadi Alim?’

Kadang-kadang, kasihan melihat orang yang ingin lakukan perubahan pada dirinya.

Tidak berubah, dicaci dan dimaki. Dikatakan jahatlah, jangan jadi macam dialah dan sebagainya.

Hendak berubah pun, diperli-perli. Oh, hendak jadi alim konon. Poyolah, nak jadi ustazlah dan sebagainya.

Memang begitulah sifat segolongan manusia. Sentiasa tidak puas hati dengan apa yang di depan matanya. Apa yang puas bagi mereka?

Bila kita buat mengikut apa yang mereka mahu, barulah puas hati mereka. Kalau tak, memang apapun yang kita buat, semuanya jadi salah di depan mata mereka. Mereka sahajalah yang betul.

Sebab itu, dalam berubah, yang penting bukanlah neraca manusia. Kalau kita mahu berubah, tetapi takut dengan kata-kata manusia, memang kita tidak akan bergerak ke mana.

Maka, dalam perubahan, yang paling penting adalah neraca Allah.

Kalau kita tahu Allah sentiasa memerhatikan segala usaha dan kepayahan kita, maka kita akan teruskan tanpa peduli dengan orang-orang yang sibuk menghukum kita.

 

Kita Ini Orang Yang Bagaimana?

Kita ini, boleh jadi sebab orang semakin dekat dengan Islam ataupun semakin jauh darinya.

Boleh jadi sebab orang semakin cinta dengan kebaikan, ataupun menjadi punca bertambahnya benci manusia kepada kerja kebaikan.

Nilai semula diri kita.

Kadang-kadang, ada di antara kawan-kawan rapat dan teman di samping kita yang inginkan perubahan. Dia mahu berubah menjadi lebih baik, tetapi bila menerima tamparan dari kata-kata kita yang meruntuhkan motivasinya untuk melakukan perubahan, maka diapun merasa seolah-olah tidak ada gunanya kalau dia lakukan perubahan.

Sebab itu, sambutan orang terhadap perubahan diri antara faktor yang cukup penting. Kalau kita tidak mampu jadi orang yang meraikan perubahan yang dilakukan oleh kawan kita, janganlah jadi orang yang memburuk-burukkan usahanya pula.

Boleh jadi dengan sebab kita memburuk-burukkan usahanya dengan memerlinya dan mengejinya, dia yang pada awalnya ingin mendekati dan memahami Islam, bergerak sebaliknya, menjauhi dan semakin benci dengan Islam.

Kenapa? Kerana baginya, Islam ini menyusahkan dirinya juga. Tak berubah, salah. Hendak berubah pun salah.

 

Sebab Itu Penting Raikan Dan Hargai Usaha Kawan Anda

Dalam peristiwa Pembukaan Kota Makkah, Abu Sufian telah berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda masuk ke Kota Makkah bersama orang-orang Islam.

Abu Sufian telah mengucap dua kalimah syahadah dan bersama dengan Rasulullah.

Siapakah Abu Sufian itu? Beliaulah antara orang yang kuat menentang Rasul s.a.w. dan menindas orang Islam. Bukan setahun dua, tetapi bertahun lamanya sehinggalah tiba peristiwa Pembukaan Kota Makkah itu.

Tetapi lihat bagaimana Rasulullah meraikan Abu Sufian. Boleh sahaja Rasulullah hendak buat tidak peduli dengan Abu Sufian, ataupun mengutuknya kembali atas apa yang telah dilakukannya dulu terhadap orang Islam. Tetapi, bukan itu yang Rasulullah lakukan.

Baginda bahkan meraikan pula kedatangan Abu Sufian kepadanya. Baginda tahu Abu Sufian memang suka disanjung, lalu baginda telah berpesan :

“Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufian, dia akan selamat. Barangsiapa yang menutup pintu rumahnya, dia akan selamat dan barangsiapa yang masuk ke dalam Masjidil Haram, dia akan selamat.”

Kita, apa yang menghalang kita untuk meraikan dan menghargai perubahan yang ingin dilakukan oleh kawan kita. Kita manusia dan dia juga manusia.

Maka di manakah ada tititk perbezaan yang meletakkan kita seolah-olah lebih mulia daripada dirinya menyebabkan kita tidak menghargai usaha yang dilakukannya dalam mengubah dirinya menjadi lebih baik?

Tidak. Bahkan, kalau kita menghalang dan memburukkan usahanya, kitalah yang lebih ‘jahat’ daripadanya, kerana dia berusaha untuk semakin dekat dengan Allah, tetapi kita pula berusaha untuk menjauhkan dia daripada Allah.

 

Penutup : Raikanlah Dan Hargailah

Hendak meraikan orang, memberi penghargaan dengan perubahan yang sedang dilakukannya, bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh semua orang.

Tetapi, itulah yang sepatutnya kita lakukan.

Dengan sedikit penghargaan daripada kita, baik dalam kata-kata, senyuman mahupun hadiah, semua itu adalah dorongan kepada teman kita untuk terus tingkatkan usahanya untuk jadi yang lebih baik.

Dia tidak akan mudah berputus asa dan tidak akan cepat kecewa kerana di sebalik susah payahnya dia, ada yang menghargainya.

Memang tidak dinafikan, perubahan itu sepatutnya titik tolaknya adalah Allah s.w.t. Tetapi, kita ini adalah manusia, bukan malaikat.

Kalau suasana yang ada di sekeliling kita tak mampu membantu kita untuk bangun dari kebiasaan kita yang lama, kita tak akan mampu untuk bergerak melakukan perubahan.

Sebab itulah, kita perlukan dorongan. Maka, dorongan dan galakan yang paling kuat kalau bukan datang dari orang yang selalu bersama dengan kita, siapa lagi yang akan berikan dorongan?

Maka, diri kita sendiri, jadilah orang yang pandai meraikan dan memberi penghargaan terhadap orang yang berusaha melakukan perubahan ke arah yang lebih baik.

Diri kita, boleh menjadi sebab orang ke syurga. Janganlah kita menggunakan ke arah sebaliknya.

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Afdholul Rahman)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan