Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,667

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rahmahjan: Kemenangan BN dalam PRK menjamin kelansungan pembangunan

12:53pm 11/06/2016 Elezebeth Esther Onjining 12 views Tempatan
Rahmahjan menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal di majlis itu.

Rahmahjan menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal di majlis itu.

TENOM- Pengundi perlu memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) agar parti tersebut mendapat kemenangan selesa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak pada 18 jun ini.

Menurut Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tenom, Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan, kemenangan selesa penting bagi membolehkan kerajaan meneruskan agenda pembangunan yang dirancang penyandang kerusi berkenaan sebelum ini.

“Teruskan sokongan kepada BN selaku penyandang kerusi berkenaan kerana fokus atau isu pilihan raya kecil ini adalah untuk meneruskan kesinambungan agenda pembangunan yang dirancangkan oleh kedua-dua wakil rakyat sebelum ini.

“Kemenangan BN penting bagi kekuatan kerajaan yang sudah menyusun perancangan di kawasan tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang lepas.

“Untuk menjamin kelangsungan apa yang sudah dirancangkan, maka BN perlu diberikan kemenangan besar kali ini supaya wakil rakyatnya selesa meneruskan apa yang sudah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Ramadhan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Tenom di Kampung Paal Seberang, dekat sini, Khamis lalu.

Majlis itu turut dihadiri oleh Naib Ketua UMNO Bahagian Tenom, Encik Juli Hussin @Malik yang juga Timbalan Pengerusi Badan Dakwah Daerah Tenom, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Tenom, Encik Kassim Yunus dan pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Seramai 62 orang ibu tunggal, anak yatim, kanak-kanak OKU dan fakir menerima sumbangan berupa makanan, beras dan duit Raya yang disampaikan oleh Rahmahjan dan Juli Hussin.

Rahmahjan berkata mengundi BN bermakna dimensi untuk kemajuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, pembangkang tidak harus diberikan tempat kerana mereka tidak mampu membawa perubahan, malahan kedua-dua parti PAS dan Amanah saling bercakaran dan tidak menunjukkan persefahaman.

“Bagaimana mereka boleh membela nasib rakyat, sedangkan antara pimpinan kedua-dua parti itu sendiri tidak pernah sehaluan,” katanya.

Beliau berkata calon BN di Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid, memahami apa yang dirancang oleh allahyarham suaminya untuk kawasan tersebut dan diyakini mampu meneruskan kecemerlangan usaha yang dirintis.

Katanya, manakala, calon BN untuk Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi merupakan anak tempatan yang serasi serta memahami kehendak dan aspirasi masyarakat setempat.

“Kedua-duanya perlu diberikan sokongan padu oleh pengundi untuk membolehkan kerajaan BN meneruskan agenda membela nasib rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Mengenai jentera Pergerakan Wanita, beliau berkata pihaknya menggerakkan jentera membantu kempen di kawasan yang ditentukan menerusi pelbagai platfom termasuk Skuad Sayang.

Ditanya peluang BN menerusi kempen setakat ini, beliau berkata bahawa BN mampu memperoleh kemenangan di kedua- kedua Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar itu.- SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan