Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Rafizi, jangan tunjuk hero

PENGERUSI PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris.

 

KUALA TERENGGANU: “Tak payah tunjuk hero”. Itu reaksi Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan faktor kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menurut Razali, kemenangan PH sebahagian besarnya berikutan percaturan bijak Dr Mahathir merangka strategi, bukannya hasil kajian Invoke Malaysia (INVOKE).

Sambil menyifatkan kenyataan sensasi Rafizi itu bersifat peribadi dan boleh memecah-belahkan PH, beliau berkata sekarang bukan masa memperlekehkan sesiapa, sebaliknya mengambil peluang untuk membina semula negara.

Katanya, Rafizi mengambil jalan ke belakang dengan mencipta krisis dalaman antara komponen PH.

“Antara strategi ampuh yang disusun Tun M ialah bertanding menggunakan satu logo, mengumumkan Perdana Menteri dan timbalannya seandainya PH menang serta menyelesaikan isu pembahagian kerusi.

“Kalau ikut kajian INVOKE, PAS tak dapat satu kerusi pun di Terengganu dan Kelantan tapi apa yang berlaku, PAS menang dua pertiga sekali gus membuktikan kajian itu tidak tepat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Semalam, Rafizi mengeluarkan kenyataan Dr Mahathir bukan faktor kemenangan PH pada PRU-14, sebaliknya isu kenaikan kos sara hidup dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah sebab utama PH berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN).

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu dilaporkan berkata, perkara itu terbukti berdasarkan tinjauan pasca PRU-14 INVOKE yang mendapati pengundi lebih terkesan dengan dua isu itu berbanding taat setia kepada Dr Mahathir.

Razali berkata, Dr Mahathir dan PPBM hanya mengambil masa setahun setengah untuk menjatuhkan BN sedangkan parti lain dalam PH tidak pernah berjaya walaupun berjuang puluhan tahun.

“DAP ambil masa 60 tahun, PKR (20 tahun) dan Mohamad Sabu menerusi PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) 40 tahun tetapi Tun M dan PPBM hanya ambil setahun setengah sahaja.

“Ini membuktikan pengaruh Tun M amat besar dan beliau mempunyai percaturan hebat,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan