Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Rafizi Bakal Masuk Jel Sungai Buloh Kantoi Isu Jet?

10:01am 16/06/2016 Pak Roshan 2290 views Mutakhir,Politik
rafizi

Foto : MalaysiaKini

KUALA KANGSAR – Terlajak perahu, boleh diundur, namun terlajak kata, maka buruk padahnya. Mungkin inilah bidalan sesuai untuk menggambarkan nasib bakal dialami Rafizi Ramli.

Ibarat kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa, cakap ‘ikut suka’ Setiausaha Agung PKR itu ketika berceramah di depan pejabat PAN Kuala Kangsar bakal menyebabkan dirinya berdepan tindakan perundangan.

Apa tidaknya, Rafizi secara terbuka mencabar pihak berkuasa bahawa beliau sedia ditangkap dan disumbat masuk ke dalam Penjara Sungai Buloh dalam isu penggunaan jet rasmi kerajaan Malaysia oleh Datin Seri Rosmah Mansor.

Bagi sesiapa yang mengikuti isu dimainkan Ahli Parlimen Pandan itu sejak minggu pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, beliau pernah mendedahkan konon berlaku salah guna jet tersebut pada bulan lalu.

Maka dengan angkuh Rafizi mencabar isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mendedahkan kos sewaan pesawat model Airbus bernombor pendaftaran ACJ319 A6-CJE yang dinaiki Rosmah ulang alik ke Turki.

Kelakarnya, dengan sombong beliau mendakwa, kadar sewaan ialah AS$15,000 sejam hanya berdasarkan sumber firma penyewaan jet mewah, Paramount Business Jets LLC yang memang mengenakan kadar mengikut jam.

Maka beliau congak AS$15,000 X 24 jam X 2 bulan yang disewa kerajaan Malaysia daripada Emirates Airlines iaitu syarikat penerbangan Emiriah Arab Bersatu di Dubai dan kemudian ditukar ikut kadar mata wang ringgit.

Begitulah mudahnya Rafizi kira macam budak sekolah sebelum melemparkan persepsi jahat nilai RM86.4 juta ‘dibazirkan’ Rosmah itu sepatutnya boleh digunakan rakyat miskin khasnya menanggung biasiswa pelajar susah.

Ketika berceramah di hadapan kira-kira 300 orang, Rafizi sekali lagi tanpa rasa bersalah mengulangi angka RM86.4 juta bagi menghasut audiens konon itulah sewa sebenar pesawat A319 itu yang terpaksa dibayar kerajaan Malaysia.

Beliau kemudian dengan selamba menegaskan, Rosmah dan pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor tidak pernah menyatakan kos sewaan jet tersebut yang sebenarnya adalah tidak benar serta nyata amat mengelirukan umum.

 

Emirates-A319ACJ-A6-CJE-1

PESAWAT EMIRATES ACJ319 A6-CJE. – GAMBAR HIASAN

Untuk rekod, sebaik Rafizi memberi angka congakan ala kiraan murid sekolah rendah belajar matematik itu, Rizal telah mendedahkan kos sewaan pesawat tersebut dan ia turut disiarkan semua media massa termasuk portal talian.

Realitinya untuk menyewa pesawat tidak seperti sewa kereta murah atau sewa bilik hotel bajet yang mengikut jam, sebaliknya kadar AS$15,000 dinyatakan Rafizi itu ialah kadar sewa harian biasa, bukannya kadar pajakan kering.

Dalam istilah bahasa Inggeris, amaun disebut Rafizi merujuk charter rate, bukannya dry lease rate iaitu formula pengiraan lazim digunakan mana-mana kerajaan atau syarikat udara di dunia untuk pajak tempoh jangka pendek.

Justeru tiada orang bodoh dalam dunia (selain Rafizi) tergamak sewa pesawat mengikut jam dan sewa lebih sebulan lamanya waima jika sewa teksi selama sebulan pun si pemandu akan mengira kadar penuh bukan lagi mengikut jam.

Sekadar rekod, berdasarkan semakan kiraan mudah untuk sebuah pesawat model Airbus A319, ia ditetapkan mengikut kadar semasa standard pajakan kering iaitu daripada serendah AS$120,000 hingga AS$320,000 sebulan.

Usia jet A319 bernombor A6-CJE yang dipajak kerajaan Malaysia daripada firma pengeluar dan dihantar kepada pihak Emirates pada 29 September 2011 itu sudah pun lima tahun dengan kadar pajakan AS$200,000 sebulan.

Kebiasaannya bagi sebuah jet paling mahal dan terbaharu di pasaran, kadar pajakan kering selama dua bulan akan dikenakan caj kira-kira AS$640,000 atau RM2.56 juta. Anehnya, daripada mana Rafizi dapat congak RM86.4 juta?

Walhal dari segi fakta, jika kita ‘kaya’ mampu sewa pajakan kering pesawat gergasi terkini Airbus 380 sebanyak AS$2 juta (kira-kira RM8 juta) sebulan, angka RM86.4 juta itu setara lima buah Airbus A380 selama dua bulan.

Hakikatnya, Rafizi bersiap sedialah untuk menjadi penghuni penjara Sungai Buloh kerana temberang anda bukan sahaja kantoi, malah cuba perbodohkan audiens konon Rizal tidak pernah menyatakan kadar sewaan jet tersebut. – Mynewshub.cc/HAA

rafizi-1-1

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan