Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,651

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Racun balas dendam

10:51am 16/06/2016 Pak Roshan 2707 views Global
JESSICA yang duduk di kerusi tertuduh memandang keluarganya ketika dibicara di Mahkamah Tengah Jakarta, semalam.

JESSICA yang duduk di kerusi tertuduh memandang keluarganya ketika dibicara di Mahkamah Tengah Jakarta, semalam.

Jakarta: Seorang wanita mula dibicarakan di mahkamah, di sini semalam atas tuduhan membunuh rakan baiknya sendiri dengan meracun kopi mangsa dengan sianida pada Januari lalu.

Pendakwa raya, Ardito Muwardi memberitahu mahkamah, Jessica Kumala Wongso membunuh rakan baiknya, Wayan Mirna Salihin atau lebih dikenali sebagai Mirna kerana dendam.

Mirna rebah dan meninggal dunia tidak lama selepas meminum kopi di kafe Olivier di Jakarta Tengah ketika bertemu dengan Jessica dan seorang rakannya, Hani pada 6 Januari lalu.

Ujian makmal mendapati kopi diminum Mirna dicemari sianida.

Ardito berkata, Jessica, 27, marah dengan Mirna selepas rakannya sering meminta dia memutuskan hubungan dengan teman lelakinya.

“Mirna menasihati Jessica memutuskan hubungan dengan kekasihnya kerana lelaki itu seorang penagih dadah dan ganas.

“Mirna mendakwa kekasih Jessica bukan lelaki yang baik dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Jessica sangat tersinggung dengan nasihat Mirna itu,” katanya.

Menurutnya, Jessica juga marah kerana hubungannya dengan kekasih putus.

Jessica, suspek tunggal dalam kes itu ditahan selama lima bulan sebelum dia akhirnya didakwa di mahkamah.

Tambah Ardito, Jessica yang memegang taraf penduduk tetap Australia dan belajar di Sydney sering menimbulkan masalah dengan polis di negara itu.

Barisan 15 peguam bela Jessica yang diketuai Sordame Purba menolak dakwaan pendakwa raya itu yang dianggapnya sebagai mengarut.

“Tidak masuk akal, Jessica pulang dari Sydney ke Jakarta semata-mata mahu membunuh Mirna.

“Tidak adil hanya Jessica menjadi suspek utama ketika beberapa individu lain termasuk suami Mirna, Arief Soemarko, Hani dan pekerja kafe yang membuat kopi turut terbabit di masa kejadian,” katanya.

Hakim memberi masa selama seminggu kepada pihak pendakwa raya untuk menjawab soalan peguam bela dan menangguhkan perbicaraan pada 21 Jun ini. – Agensi/HMetro

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan