Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PV-ATM Minta Kerajaan Timbang Kebenaran Kepada Pasukan Keselamatan Tembak Penceroboh

Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia

KUALA LUMPUR– Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PV-ATM) pada Rabu meminta kerajaan mempertimbangkan permohonan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk melepaskan tembakan terhadap mana-mana individu yang menceroboh perairan negara.

Presidennya Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata kerajaan harus mempertingkatkan undang-undang kuasa menembak pasukan keselamatan supaya anasir luar tidak berani memasuki perairan negara ini sesuka hati.

“Pada hemat saya pasukan keselamatan negara harus diberi mandat kuasa menembak agar kita (kerajaan) dapat memberikan gambaran yang menunjukkan kesungguhan kita supaya orang luar tidak berani masuk perairan negara,” katanya kepada Bernama selepas majlis berbuka puasa PV-ATM di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan TLDM kepada kerajaan supaya membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menceroboh kawasan perairan Sabah.

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata peraturan sedia ada tidak membenarkan pasukan keselamatan menembak apabila ternampak (shoot on sight) yang menghalang pasukan keselamatan termasuk TLDM untuk membanteras kumpulan pengganas.

Bagaimanapun, Mohd Anwar berkata kelulusan kuasa menembak itu perlu berdasarkan kepada peraturan yang mengikut situasi semasa iaitu bertindak balas jika diserang atau dalam keadaan darurat sahaja.

Beliau juga berkata kaedah risikan maklumat perlu dilakukan dengan lebih intelektual supaya pasukan keselamatan negara berupaya membuat perancangan awal menghadapi ancaman anasir luar.

Beliau berkata pasukan keselamatan perlu bijak menggunakan maklumat risikan yang ada bagi tujuan mengetatkan kawalan, sekali gus menjamin keselamatan di perairan Sabah sepanjang masa.

Katanya, penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sudah cukup baik dan lengkap daripada aspek keselamatan namun pengawasan perairan perlu diperketatkan secara berterusan supaya ruang yang ada tidak ditembusi penceroboh luar yang kini semakin berani mencabar kedaulatan negara.

“Penubuhan ESSCom menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh untuk menangani anasir jahat dari luar tetapi penceroboh kini bertindak agresif dengan menembak pasukan keselamatan kita,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan