Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pusat refleksologi dikendali OKU dibuka di Sandakan

SANDAKAN – Pusat refleksologi dikendalikan orang kurang upaya penglihatan dibuka di Kompleks Penyayang Taman Cahaya di Pekan Muhibbah, Rancangan Sungai Manila dekat sini, pusat pertama seumpamanya dikendalikan OKU penglihatan di Sabah.

Pusat Refleksologi dan Spa itu dibuka menerusi program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) di bawah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), manakala orang kurang upaya penglihatan terlibat merupakan penghuni Taman Cahaya.

Pengarah JTK Sabah Kamal Pardi berkata program itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Orang Buta Sabah bertujuan untuk memberi peluang kepada penghuni menambah pendapatan dan meningkatkan kemahiran mereka.

“Sebelum ini kemudahan dan peralatan mereka adalah terhad, JTK melalui program bersama persatuan itu menyalurkan dana sebanyak RM249,000 untuk penambahbaikan serta pembelian peralatan untuk meningkatkan fasiliti perkhidmatan tersebut.

“Selain itu, dana berkenaan juga termasuk untuk memberi latihan dan kursus kepada mereka dalam bidang refleksologi dan akan mendapat sijil kemahiran Malaysia Tahap 3 untuk berkhidmat di pusat itu,” katanya.

Kamal berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada majlis perasmian pusat itu oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman sempena sambutan Hari Penglihatan Sedunia peringkat negeri di sini semalam.

Beliau berkata pusat itu dilengkapi 12 set kerusi refleksologi, 12 buah katil dan 12 set alat rendaman kaki.

Katanya melalui vendor yang dilantik, Mysara Enterprise pula akan membantu mereka dari segi latihan, promosi dan peningkatan pendapatan serta pemantauan pusat tersebut.

Saidan Nanang, 47, yang berkhidmat sebagai tenaga perkhidmatan urutan di pusat berkenaan, menghargai usaha pihak bertanggungjawab khususnya kerajaan yang prihatin kepada golongan kurang bernasib baik seperti mereka.

Bapa kepada dua orang itu bersyukur kerana diberi peluang untuk berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Dengan adanya peluang, ruang dan perlindungan serta sokongan seumpama ini, kami merasa dihargai dan tidak disisihkan sebaliknya diberi perhatian,” katanya.

Pusat latihan kemahiran bagi OKU penglihatan Sabah di Kompleks Penyayang Taman Cahaya ditubuhkan sejak 1967.

Ia dinaik taraf pada tahun 2010 dengan kos RM6 juta dan dirasmikan Musa pada Jun tahun lepas.  – BERNAMA

PUSAT LATIHAN.. Kompleks Penyayang Taman Cahaya di Pekan Muhibbah, Rancangan Sungai Manila, Sandakan.
PUSAT LATIHAN.. Kompleks Penyayang Taman Cahaya di Pekan Muhibbah, Rancangan Sungai Manila, Sandakan.

Komen


Berita Berkaitan