Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pusat Orang Buta jadi persinggahan pelancong

Sekumpulan sukarelawan mencangkul tanah untuk menanam bibit pokok kelapa pandan. - foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Sekumpulan sukarelawan mencangkul tanah untuk menanam bibit pokok kelapa pandan. – foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

TUARAN – Warga penghuni Pusat Orang Buta (POB) Tuaran bakal menerima impak positif dengan hasil penanaman 100 pokok kelapa pandan oleh sekumpulan sukarelawan muda.

Melalui Program Sukarelawan iM4U anjuran Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Sabah, seramai 55 sukarelawan daripada golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti penanaman tersebut di Bengkel Perlindungan Wallace, Pusat Orang Buta, di sini hari ini.

Mereka terdiri daripada pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, Tuaran serta dibantu ahli keluarga POB membersihkan kawasan persekitaran dan menyiapkan kraftangan hasil kerja tangan penghuni pusat tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata, penanaman 100 pokok kelapa pandan itu dapat membantu penghuni pusat tersebut menjana pendapatan mereka dengan penjualan buah kelapa pandan dalam jangka masa panjang.

Sukarti terlibat langsung dalam aktiviti menanam pokok tersebut. - foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah
Sukarti terlibat langsung dalam aktiviti menanam pokok tersebut. – foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

“Kita berharap POB akan menjadi pusat persinggahan para pelancong (One Stop Center), bukan sahaja melihat sendiri hasil kraftangan buatan golongan orang kurang upaya penglihatan, malah menikmati keenakan dan kesegaran air buah kelapa pandan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Program Sukarelawan iM4U.

Sukarti yang juga Penasihat Puspanita Cawangan Sabah berharap pusat ini dapat menawarkan sesuatu yang lebih menarik pada masa akan datang.

“Contohnya, dengan menanam tanaman komersial seperti serai, kunyit dan daun pandan wangi akan dapat membantu menjana pendapatan penghuni serta Pertubuhan Bagi Orang-orang Buta Sabah,” ujarnya.

Katanya lagi, aktiviti yang dilaksanakan mampu mengangkat serta memperkenalkan pusat tersebut sebagai satu destinasi yang mesti dilawati.

“Saya juga berharap, lebih banyak agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta badan-badan korporat tampil memberi sumbangan dan sokongan agar mereka tidak tersisih daripada arus pembangunan negara,” jelasnya. – SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan