Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,734

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pusat Koko Kluster Tanah Tinggi Akan Dibina Di Ranau Tahun Ini

4:20pm 11/04/2016 Pak Roshan 35 views Mutakhir,Ranau,Tempatan

koko

RANAU : Pusat Koko Kluster Tanah Tinggi akan dibina di Ranau tahun ini dengan belanja kira-kira RM6.4 juta.

Pengerusi Lembaga Pengelola, Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr Marcus Majigoh berkata, ia akan menjadi pusat bersepadu selaras dengan konsep projek ‘dari ladang ke meja’.

Ini termasuk menjalankan aktiviti pengeluaran dan pemprosesan koko hingga pembuatan dan pemasaran produk, katanya.

“Lokasinya sudah dikenal pasti, iaitu di Kampung Togis dan kini dalam proses perbincangan dengan pemilik tanah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan ‘Koko Kluster Tanah Tinggi’ di Kampung Togis di sini, Isnin.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) LKM, Datin Norhaini Udin dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) LKM, Dr Ramle Kasin yang juga Ketua Program Koko Kluster Tanah Tinggi.

Marcus berkata, pemilihan Ranau sebagai lokasi projek Koko Kluster Tanah Tinggi itu adalah kerana daerah ini adalah antara kawasan penanaman koko utama dan mempunyai pekebun koko yang aktif.

“Di samping itu, Ranau juga mempunyai tanah sesuai untuk tanaman itu dan koko yang dihasilkan adalah berkualiti.

“Justeru, dengan adanya pusat itu nanti, kakitangan LKM akan dapat memantau perkembangan sekali gus menguruskan industri tanaman koko secara lebih sistematik,” katanya.

Projek Koko Kluster Tanah Tinggi diwujudkan antara lain bertujuan membantu pekebun meningkatkan pengeluaran biji koko, meningkatkan pendapatan berkelompok pekebun atau koperasi menerusi penghasilan produk siap koko.

Menerusi projek itu, LKM menyediakan insentif input pertanian bagi meningkatkan produktiviti dengan sasaran 800 hektar melibatkan 754 pekebun, dan seluas 175 hektar tanaman baharu dilaksanakan setahun hingga 2019.

Ketika ini, 37 kampung di sekitar Ranau terlibat dalam pembekalan buah koko untuk projek membabitkan 366 peserta dan setakat ini seluas 368 hektar sudah mengeluarkan hasil.

Tahun lalu, Ranau telah mengeluarkan 61 tan metrik biji koko kering dan LKM berharap tahun ini ia akan mencapai 80 tan metrik.

Setakat suku pertama tahun ini, sebanyak 44 tan biji koko kering bernilai RM400,000 berjaya dihasilkan.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan