Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Pusat CSIC Huawei Bantu Malaysia Capai Negara Pintar Digital

4:10pm 14/12/2015 Pak Roshan 25 views Mutakhir,Nasional
Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Huawei Customer Solution Innovation and Intergration Experience Center hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Komunikasi dan Mutimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak menyampaikan ucapan pada majlis pembukaan Huawei Customer Solution Innovation and Intergration Experience Center hari ini. – Foto BERNAMA

CYBERJAYA – Penyedia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global, Huawei melancarkan Pusat Inovasi, Integrasi Pengalaman Pelanggan (CSIC) di sini, hari ini, yang turut menjadi bukti komitmennya terhadap transformasi Malaysia sebagai Negara Pintar Digital.

Pelancarannya yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, adalah merupakan pusat rangkaian global dan inovasi bagi membolehkan pihak berminat untuk merasai, merekabentuk serta membangunkan kaedah penyelesaian serta aplikasi ICT.

Malah, CSIC turut memaparkan lebih 120 aplikasi rujukan dan perkhidmatan daripada kalangan pelanggan Huawei serta makmal penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Dalam ucapannya, Salleh menyifatkan pusat berkenaan membolehkan pengendali telekomunikasi Malaysia menguji model perniagaan baharu selain menerap aplikasi dan perkhidmatan dalam persekitaran rangkaian yang sebenar.

Beliau turut mengalu-alukan pengiktirafan Huawei terhadap keazaman rakyat Malaysia untuk mewujudkan negara yang memiliki pelbagai kemudahan jaringan serba lengkap.

“Saya berharap pusat ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama bagi membantu ramai rakyat menikmati kemudahan hasil pelaksanaan Malaysia Pintar Digital” katanya.

Bersempena pembukaan CSIC, Huawei turut melancarkan kertas putih bertajuk ‘Accelerating A Smart Digital Building a Better Connected World’ (Memacu Pembangunan Pintar Digital Bagi Perhubungan Dunia Lebih Baik) yang meninjau strategi ICT bagi pembentukan Negara Pintar Digital.

Ia antara lainnya menggabungkan saranan metodologi peringkat atasan ke bawah dan sebaliknya bagi pelaksanaan pendekatan kerangka pintar selain menyenaraikan keperluan ICT untuk membolehkan amalan serta penerimaan aplikasi pintar.

Salleh turut mengulas pelancaran kertas putih berkenaan yang disifatkannya mampu menggalakkan lebih banyak perbincangan mengenai inisiatif bandar pintar.

“Sebagai pemimpin ICT global, Huawei memiliki teknologi sewajarnya serta pengalaman bagi pembangunan negara pintar.

“Saya berharap lebih banyak syarikat dapat mengikuti jejak Huawei untuk bersama-sama membina Malaysia sebagai negara pintar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei di Malaysia, Abraham Liu berkata Huawei sentiasa mencari peluang baharu sebagai penjana bagi melonjakkan usaha Malaysia mewujudkan Negara Pintar Digital.

“Seiring usaha Malaysia mencapai Wawasan 2020 yang juga tempoh transformasi penting, Huawei tetap komited menjadi rakan Malaysia bagi menempuhi perjalanan ini,” katanya.

Liu turut memuji pencapaian Malaysia dalam pembangunan ICT sebagaimana ditetapkan dalam Wawasan 2020.

“Kami juga gembira melihat usaha kerajaan Malaysia menetapkan wawasan mewujudkan Negara Pintar Digital menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Internet of Things (IoT) serta Inisiatif Komuniti Pintar.

“CSIC sendiri sebagai platform penyepaduan pengalaman ICT dapat memacu kaedah pengurusan pentadbiran kerajaan, perniagaan, kehidupan dan persekitaran berkaitan,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan