Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pura-Pura Sertai Solat Tarawih Untuk Curi Tabung

Dua suspek yang ditahan reman di percayai terlibat dengan beberapa kes memecahkan wang tabung masjid juga melarikannya. - Foto Ahmad Ismail (BH Online)
Dua suspek yang ditahan reman di percayai terlibat dengan beberapa kes memecahkan wang tabung masjid juga melarikannya. – Foto Ahmad Ismail (BH Online)

SEGAMAT – Dua lelaki berpura-pura menyertai solat tarawih semata-mata mahu meninjau kedudukan tabung masjid atau surau yang hendak dicuri mereka.

Namun, kelicikan mereka yang mendalangi sekurang-kurangnya empat kes pecah tabung masjid sekitar daerah ini, berakhir apabila ditahan polis pagi semalam.

Suspek pertama berusia 24 tahun ditahan di rumah dekat Jalan Hassan, di sini, jam 2.45 pagi semalam, membawa kepada penahanan rakannya yang berusia 22 tahun di Batu Anam, 15 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi, berkata pemeriksaan lanjut terhadap suspek mendapati mereka positif dadah jenis syabu dan kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.

“Susulan penahanan dua suspek itu, polis menemui semula sebuah peti besi di Kampung Kuala Paya, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

“Kedua-dua suspek dipercayai terbabit dalam kejadian pecah tabung masjid dan surau yang dilaporkan di sekitar daerah ini sejak beberapa minggu lalu.

“Kita percaya mereka juga terbabit dalam kejadian terbaru pada 29 Jun lalu di Masjid FELDA Medoi, yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di situ,” katanya.

Mohd Kamil berkata, antara surau dan masjid yang menjadi sasaran suspek sejak beberapa minggu lalu ialah surau Kampung Tasek Alai, Kampung Kuala Paya, Simpang Jabi dan Masjid FELDA Medoi.

“Suspek dipercayai bersama berjemaah lain menunaikan solat tarawih di masjid sasaran mereka untuk meninjau kedudukan dan tahap keselamatan tabung sebelum kembali mencurinya,” katanya. – BHarian Online

Komen


Berita Berkaitan