Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pura-pura baiki penghawa dingin

aircond

PENAMPANG: Tembelang seorang warga asing yang berpura-pura bekerja sebagai pembaiki alat penghawa dingin akhirnya terbongkar selepas ditahan akibat aktiviti jenayahnya termasuk pecah rumah.

Suspek yang berusia 24 tahun dan pernah bekerja di premis alatan elektrik itu ditahan di sebuah rumah tidak bernombor Lorong Buah Dukung, Kolombong baru-baru ini.

Difahamkan suspek terlibat dengan beberapa kes pecah rumah di sekitar Penampang dan Putatan pada tahun lalu dengan melarikan alat penghawa dingin di kediaman mangsa yang dipecah masuk sebelum bertindak menjualnya kepada orang ramai.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Ratan Kumar Singh berkata, hasil intipan dan risikan, suspek akhirnya berjaya ditahan semula antara 6 dan 14 Jun lepas.

“Berikutan penangkapan suspek, kita berjaya membuat rampasan penghawa dingin di beberapa lokasi yang dipercayai hasil kegiatan curi berkenaan di sekitar Penampang.

“Malah dalam kes ini, kita juga menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun di Inanam Point bagi membantu siasatan,” katanya di sini kelmarin.

Mengulas lanjut, Ratan berkata siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah dengan berpura-pura bertugas memasang atau membaikpulih alatan berkenaan di kawasan pejabat dan kediaman mangsa.

“Setelah itu, suspek akan mencari pembeli yang berminat membeli penghawa dingin yang dicuri terbabit.

“Susulan penangkapan suspek, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai selesai,” katanya sambil menambah, kes membabitkan kerugian kira-kira RM12,000.

Kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berlainan, polis berjaya merampas wang tunai RM3,050 dalam serbuan bersempena Ops Soga V berhampiran kaki lima restoran di Beverly Hills, di sini malam Isnin lepas.

Menurut Ratan, dua lelaki tempatan masing-masing 43 dan 48 tahun telah ditahan dipercayai ejen pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 dalam serbuan berkenaan.

“Selain wang tunai RM3,050, kita juga berjaya merampas tiga buah telefon bimbit dan sebuah i-Pad yang dipercayai digunakan suspek dalam pertaruhan itu.

“Kesemua bahan rampasan dan tangkapan telah dibawa ke IPD Penampang untuk disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan