Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Puntung Rokok Mungkin Punca Kebakaran Belukar, Lalang – Bomba Sabah

10:43pm 03/04/2016 Pak Roshan 315 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

bomba

KOTA KINABALU : Puntung rokok berkemungkinan antara punca berlakunya kejadian kebakaran belukar dan lalang di beberapa kawasan di Sabah, kata Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Khairul Azuwan Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam supaya lebih peka dan mengelak daripada membuang puntung rokok sesuka hati sepanjang musim cuaca panas dan kering ini berikutan api mudah merebak dan menyumbang kepada kebakaran terbuka sekaligus menjejaskan kualiti udara.

Di samping itu, Khairul Azuwan, berkata kebakaran di kawasan hutan pula dilihat banyak berpunca daripada aktiviti pembakaran untuk tujuan pertanian termasuk membersihkan ladang.

“Jangan sesekali membuat pembakaran terbuka, walaupun ia dikawal, atau kebakaran kecil, tetapi kalau banyak (kebakaran) ia menyumbang kepada jerebu.

“Jerebu berlaku (di beberapa kawasan di Sabah) sekarang bukan dari luar, ia dari dalam (negeri) kerana terlalu banyak kes kebakaran hutan dan belukar berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari Ahad.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, kualiti udara di Keningau dan Kota Kinabalu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 4 petang iaitu masing-masing 63 dan 57, menurun berbanding bacaan pada 12 tengah hari iaitu 65 dan 66.

Di Sandakan dan Tawau pula mencatatkan bacaan IPU baik iaitu masing-masing 33 dan 23.

Mengulas lanjut, Khairul Azuwan berkata pihaknya akan membuat operasi bersepadu dan menggerakkan anggota ke kawasan kritikal seperti dilakukan di Beaufort termasuk menggunakan helikopter jika diperlukan bagi memadam kebakaran.

JBPM Sabah merekodkan sebanyak 1,170 kes kebakaran terbuka sepanjang Mac lepas dengan kawasan hutan dan belukar mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 629 kes dan 406 kes.

Setakat semalam, jabatan itu merekodkan sebanyak 120 kes kebakaran terbuka.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan