Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Pukat hantu ancam hidupan marin di TARP

PERANGKAP ikan di sekitar terumbu dipasang individu tidak bertanggujawab di dalam Taman Laut Tungku Abdul Rahman di Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Jude Junius.
PENYELAM mengambil inisiatif sendiri untuk memindahkan jarin ikan dari terumbu karang dalam taman mari. – Foto Ihsan Jude Junius

 

KOTA KINABALU: Taman Tunku Abdul Rahman (TARP) yang terkenal sebagai pusat pelancongan dan menyelam tercemar dengan lambakan pukat hantu memenuhi sekeliling terumbu karang, sekali gus memerangkap dan membunuh ratusan hidupan laut setiap hari.

Sejak beberapa tahun lalu, penyelam mengambil inisiatif sendiri untuk memindahkan jaring ikan dari terumbu karang dalam taman marin yang dilindungi merangkumi lima pulau iaitu Pulau Gaya, Sapi, Manukan, Mamutik dan Sulug.

Biarpun usaha mereka melindungi hidupan marin dan membawa perkara itu kepada pihak berkaitan, masalah pukat hantu terus berleluasa di TARP dan menjadi ancaman kepada terumbu karang serta hidupan laut.

Penyelia penyelam, Jude Junius, berkata aktiviti menyelam boleh tergugat jika aktiviti menangkap ikan secara haram dan lambakan jaring terus berleluasa tanpa pemantauan berkesan daripada pihak berkuasa.

“Terumbu terancam pada kadar yang sangat membimbangkan dan akan mati jika keadaan ini berterusan. Kami sudah melakukan apa yang perlu, namun ia cuma sedikit yang kami mampu. Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perikanan perlu memberi tumpuan ke atas masalah ini.

“Kami bangga dengan Sabah yang kaya dengan kepelbagaian biologi laut, namun keadaan ini menjadikan industri menyelam kelihatan teruk terutama kepada penyelam baharu yang tidak sabar untuk melakukan pengembaraan di air,” katanya.

Jude berkata mereka juga menemui perangkap ikan di sekitar terumbu dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab, lalu mempersoalkan keberkesanan bayaran konservasi kepada Taman-Taman Sabah.

Sejak bulan lalu, penyelam menemui lebih 13 jaring hantu dengan inisiatif membersihkan laut itu dibiayai konservasi marin Pulau Gaya dan operator penyelam iaitu Borneo Dream, Diverse Borneo dan Land Below The Wind yang menyediakan bot serta kelengkapan menyelam.

Sementara itu, Pengurus Taman TARP Sabah, Anthony Tinggi, berkata mereka bergantung kepada maklumat daripada penyelam selain koordinat yang tepat bagi memudahkan pasukan bertindak terhadap isu berkaitan jaring ikan.

“Kami mempunyai lima penyelam dari unit marin dan pasukan kami juga sudah mengeluarkan pukat hantu ketika menyelam. Saya setuju kita tak boleh bekerja bersendirian untuk atasi masalah ini dan perlukan kerjasama khususnya dari penyelam.

“Mereka (penyelam) ada datang berjumpa untuk berbincang mengenai kerjasama dan kita bantu sediakan bot serta anggota bagi membantu membuang pukat hantu, namun terhenti seketika ketika musim Ramadan yang lalu,” katanya.

Anthony berkata, pihaknya juga dalam perancangan untuk mewujudkan renjer kehormat bagi meningkatkan jumlah kakitangan dan kini dalam peringkat membuat kertas cadangan.

Tambahnya beliau percaya pukat hantu terbabit bukan dipasang secara sengaja di TARP, sebaliknya dihanyutkan dari perairan di luar sempadan taman itu. – Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan