Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

‘Pugai Balabak’ karya Witer Gunik dominasi bedah karya Penulis KDM

Dari kiri – Asmiah Ajamain, Monsu Godon, Rem Dambul dan  Witer Gunik
Dari kanan– Asmiah Ajamain, Monsu Godon, Rem Dambul dan Witer Gunik

Cerpen Pugai Balabak’ (PB) karya Witer Gunik dari Ranau telah mendominasi perhatian audiens Program Bedah Karya Kelab Penulis Kadazandusun Murut Malaysia (Momogunsia) di Rumah Pangi, Sabandar, Tuaran baru baru ini.

Pembedahan cerpen PB oleh Dr Ramzah Dambul @ Rem yang menjadi klimaks pembacaan dan pengulasan karya dalam suasana santai dan harmoni lewat tengahari itu telah mengundang persoalan inti mengenai isyarat falsafah yang mahu ditampilkan Witer selaku pengkarya. Witer yang mengikuti dengan penuh fokus ulasan itu seumpama dikejutkan oleh satu paradigma baharu dalam menghidupkan sesebuah karya, kata Pengerusi Kelab Penulis Kadazandusun Murut Sabah, Henry Bating.

“Persoalan itu lantas membuka dimensi baru dalam penghuraian elemen ekstrinsik berkaitan nyawa, jiwa dan falsafah karya yang berunsurkan etnik Sabah dalam konteks Malaysia. Topik Pugai Balabak kemudian mekar meniti dari bibir ke bibir, menjadi bualan selingan, ungkapan, olokan dan sebutan oleh kalangan audiens sehingga ke pos-pos kumpulan Whatsap dan Telegram.”

Kembang semerbak pengungkapan minda yang lebih terbuka dan bersefahaman itu telah dimungkinkan oleh olahan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Hajah Asmiah Haji Ajamain ketika memulakan sesi bedah karya itu dengan mengungkapkan tanggapan terhadap cerepen ‘Permintaan Terakhir’ karya Monsu Godon, kata nya.

Dalam tanggapannya, Asmiah meminta penulis menampilkan dengan lebih jelas imej-imajan elemen etnik agar karya yang dipersembahkan mampu difahami pembaca ramai dengan sekali lalu.

Karya-karya lain yang turut dibaca dan diulas ialah ‘Sesal Dahulu Pendapatan’, ‘Desa Sokid’ karya Anthonia Gilung, ‘Pilihan Pertama’ oleh Sofie Clara, ‘Lambaian Seratus Hari’ oleh Caroline Baginda, ‘Tujuh Pintu’ oleh Kathirina Tati, ‘Samad’ oleh Rita Robert Rawantas, ‘Tembok Hubungan’, ‘Resort Podtungongisan’ oleh Raymond Majumah, ‘Berkembang Dari Debu’ oleh Yatim Ahmad, ‘Lias’, ‘Puteri Salji Kinabalu’ oleh Welin Ebal dan sebuah karya Juilis Mokujal.

Program Bedah Karya itu merupakan rentetan daripada pelancaran antologi cerpen ‘Nyiur Gading Tinggi Menjulang’ (NGTM) oleh Pengarah DBP, Asmiah di Hotel Perkasa, Keningau dua minggu sebelumnya.

“Dalam antologi yang akan kita buat nanti hendaklah dibuat betul-betul, jangan asal jadi sahaja,” demikian Yatim Ahmad memberi usulan. Yatim juga adalah penulis cerpen NGTM yang menjadi judul kepada antologi yang dilancarkan.

Cerpen ‘Pugai Balabak’ buah pena Witer Gunik menerobos amalan ‘guna-guna’ dalam kalangan masyarakat tradisi etnik Sabah. Amalan itu berakibat fatal dan mampu membawa kerosakan hidup kepada individu yang terkena.

Itulah yang dipersoalkan oleh Dr Rem kepada penulisnya. Ketika mana usaha diarahkan kepada integrasi dan gerakan tanpa sempadan arus pelancongan, adakah anda mahu memberi gambaran yang menakutkan orang-orang dari luar Sabah untuk datang ke sini? Demikian bunyi soalan itu.

Peleraian cerita itu sudah pasti bakal memberi kejutan apabila Witer menyampaikan karya itu buat kali kedua selepas pengubah-suaian.

Pugai Balabak adalah sejenis ilmu pengasih yang sukar ditanggalkan dari orang (biasanya gadis sombong) yang dipugai berbanding pugai jenis-jenis lain. Pugai dari bahan ramuan sejenis tumbuhan digunakan sebagai pengasih dengan iringan mantera. Pugai itu disentuhkan kepada individu sasaran melalui pakaian dalam, tubuh mahupun gambar.

Dalam cerpen PB, Caroline telah menjadi sasaran Pugai Balabak angkara tegah menolak dengan sinis empat peminangan yang pernah datang bersilih ganti kepadanya.

Caroline yang akhirnya menjadi murung dengan musim-musim tertentu sukar dikawal telah memprihatinkan keluarganya. Setelah habis orang pandai di Ranau, Kinabatangan, Tenom dan yang lain-lain didatangi untuk mendapatkan penawar, maka keluarga itu membawa Caroline dari Ranau ke Pulau Banggi untuk berubat.

Di Banggi banyak episod dan peristiwa rawatan telah dijalankan sehingga memberi bayangan kesembuhan kepada Caroline. Dan perspektif pengamalnya di Banggi ialah pugai merupakan salah satu elemen pengajaran individu dalam bertingkah laku.

Membaca cerpen PB Witer yang belum diterbitkan itu nyata memberi pengetahuan dalam salah satu elemen pengetahuan tradisi.-Sayangsabah

Komen


Berita Berkaitan