Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,696

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Public Shaming Di Internet. Bukan Benda Kecil.

12:10pm 10/12/2015 Zakir Sayang Sabah 27 views i-Muslim
Gambar  Hiasan

Gambar Hiasan

Kelebihan dunia tanpa sempadan dek penangan internet ialah, maklumat tersebar dengan pantas. Maka orang yang memberikan alasan rapuh untuk sekadar menjadi katak di bawah tempurung, sememangnya akan menjadi terbawah di kalangan masyarakat. Kemudahan sudah ada.

Namun kontranya terhadap kelebihan itu ialah untuk manusia yang baru kenal dunia, kesilapan, kebodohan dan keaiban mereka akan lebih mudah terpapar, lebih buruk ianya disebarkan ke serata tempat.

 

Sifat Manusia – Memang Akan Buat Silap

Manusia buat silap ini biasa sebenarnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak Adam akan melakukan kesalahan. Dan sebaik-baik pesalah adalah yang bertaubat.”Hadith Riwayat Tirmidzi.

Nama pun manusia, tiada yang sempurna. Namun era di mana semua benda kita suka upload di alam maya(baik di medan Facebook, atau medan Youtube, Instragram, Tumblr, blog dan sebagainya), manusia yang mungkin belum bertemu hakikat kebenaran akan tindakannya(dia rasa yang dia buat tu okay, tak ada masalah), akan turut memuat naik perbuatannya.

 

Dunia Bukan Dihuni Oleh Kita Seorang

Dunia bukan dihuni oleh kita sahaja, dan orang-orang yang berpandangan seperti kita, orang-orang yang befikiran seperti kita sahaja.

Bila dimuat naik, tersebarlah kepada seantero warga alam maya, dan akhirnya akan mendapat respon yang pelbagai. Dan sekiranya tindakan itu dikira sebagai memalukan di sisi agama, di sisi masyarakat, maka beramai-ramailah orang akan menyerangnya.

Niat si pemuat naik mungkin bukanlah untuk berbangga dengan perbuatan dosanya atau kesilapan faktanya atau kesalahannya, cuma keadaan dirinya, mindanya, kefahamannya ketika itu ialah dia rasa benda tu okay, betul, benar, tak ada masalah, tak salah. Dia memuat naik kerana dia merasakan dia bukan somebody yang perlu jaga apa orang lain nak rasa atau mungkin dia memang rasa ‘kebenaran’ itu perlu disampaikan dan macam-macam. Mungkin ada yang rasa dia bukan orang penting, maka dia rasa takkan benda yang dia upload itu akan jadi viral.

Tetapi biasanya, benda yang menyalahi norma masyarakat setempat, agama, dan sebagainya, memang akan mudah menjadi viral, seterusnya menjadi sasaran kutukan. Apatah lagi sekarang zaman wujudnya Page-page Facebook yang suka share video entah dari mana-mana. Nak korek di alam internet ni, memang semua benda boleh kita jumpa. Maka ada Page-page Facebook yang suka menarik like banyak dengan memuat naik video-video kontroversi, kelakar, sensasi dan sebagainya.

 

Nasihat Pertama – Kepada Yang Upload

Maka sampailah pada nasihat saya yang pertama, kepada pengguna internet. Sebaiknya fikir 10 kali sebelum upload apa-apa. Sebaiknya kita fikir kalau kita muat naik benda ni, dapat pahala ke? Allah redha ke? Benar ke apa kita sebut/sampaikan itu? Apa faktanya? Di mana dalilnya? Jangan fikir apa kita suka aja. Jangan biasakan diri bercakap tanpa guna otak, bertindak tanpa berfikir. Banyak-banyak muhasabah. Hatta status Facebook/twitter pun. Nampak ringan kan? Tapi impak besar sebenarnya.

Dulu orang Melayu kata, kerana pulut santan binasa, kerana mulut, badan binasa. Mulut tu bolehlah kita kiaskan sebagai ‘tindakan’ atau ‘percakapan’.

Justeru kita perlulah menjadi pengguna internet yang bijak. Pastikan apa yang kita ungkapkan untuk sebaran itu ada nasnya, ada kajiannya, ada pegangannya yang utuh. Pastikan apa yang kita nak persembahkan, tayangkan kepada netizen(masyarakat internet) itu adalah benda yang benar, sedap mata memandang, bermanfaat dan sebagainya. Jika ada benda yang kita tak pasti betul atau tidak, elakkan dari berkata berkenaannya, elakkan dari berkongsi tentangnya. Jika kita tahu apa yang kita buat ini bakal menyalahi kesantunan adab, melanggari batas agama, perkara yang sia-sia dan tidak bermakna, usahlah ditayang-tayang. Buat apa?

Marilah bermuhasabah. Saya pengguna internet juga. Sama-sama kita periksa diri kita.

 

Nasihat Kedua – Kepada Yang Melakukan Public Shaming

Seterusnnya teguran saya yang kedua, kepada orang ramai yang buat public shaming.

Satu benda yang saya tak nafikan, benar, orang dah buat salah. Menyalahi norma agama, masyarakat, sebar fakta yang salah dan sebagainya.

Tetapi berpada-padalah. Buat apa disebar-sebar. Ramai akan bagi dalil: “Dah dia cari fasal upload kat tempat semua orang boleh tengok, apa hal?”

Tapi itulah dia realiti zaman sekarang. Orang sekarang nak makan pun tangkap gambar, upload. Zaman dulu(sekarang pun ada), ada yang ‘couple’ kat tasik, taman dan sebagainya. Pun terang-terangan. Tapi tak appropriate kan kita pergi dekat dengan dia, kemudian kita jerit: “Wahai orang-orang yang ada kat tasik, dua orang ni bukan mahram pun. Berdosa besar.” Kemudian kita tepuk bahu mereka dan kata: “Moga korang diazab Allah!” depan-depan mereka.

Agak-agak mereka makin dekat dengan Islam? Mereka akan terus insaf dan nak bertaubat? Apakah mereka akan sudi nak betulkan kesilapan mereka? Atau mereka akan tension, benci orang-orang bawa agama ni, atau mereka akan bertumbuk dengan anda? Mana posibiliti paling tinggi peratusnya untuk terjadi? Fikirlah.

Macam itulah tak appropriatenya kita memalukan orang yang dah terlanjur buat benda yang kita kategorikan sebagai ‘bodoh’ di internet ini.

Bagaimana kalau si fulan/fulanah yang buat perkara tersebut, dek kerana kena public shaming dengan kita semua, dia bunuh diri? Tak mustahil.

Betapa besarnya dosa orang ramai yang telah memberikan tekanan dasyat kepadanya. Jangan nafikan yang possibility tersebut boleh berlaku. Bukan benda asing pada masyarakat hari ini, tension bunuh diri. Gagal UPSR pun ada yang bunuh diri.

Apa-apa perkara yang nak ditegur secara public, perlulah benda tersebut melibatkan hak dan keselamatan masyarakat.

Contoh: Isu orang songlap duit rakyat, orang yang menghina Islam terang-terangan dalam bentuk yang provokatif dan membahayakan, perompak yang rompak bank, pembunuh bersiri dan sebagainya.

Kalau benda peribadi, orangnya pun bukan orang penting(cth: public figure yang tindakannya boleh bagi influence – macam jadi dalil la – untuk halalkan tindakan tersebut pada masyarakat awam), maka tak perlulah nak sebar-sebar, dan tak perlulah nak public shaming sangat. Kalau nak tegur, tegur dengan elok di tempat yang fulan/fulanah tu upload perkara tersebut. Tengok respon dia dahulu. Mana tahu dia rupanya boleh menerima teguran dengan baik.

Ini tidak, belum apa-apa, kita dah melompat maki dia, canang seluruh dunia kesalahan dia, kongsi dengan rakan-rakan sebarkan kesilapan dia, kemudian kawan-kawan kita pun join maki sama, kawan kepada kawan-kawan kita pun join dan begitulah seterusnya. Selepas reda isu tersebut, kita bergalih pula kepada isu lain, dan begitulah kita, seterusnya dan seterusnya. Apa jadi dengan orang kita kenakan public shaming itu? Entah. Kita pun tak peduli apa jadi.

Bukan saya kata semua yang kena public shaming akan hancur hidupnya. Ada yang selamat, bahkan ada yang menjadikan public shaming terhadap dirinya sebagai stepping stone(batu loncatan) untuk memajukan dirinya. Namun semua begitukah?

Tiada jaminan.

 

Kita Semua Buat Salah

Kita semua takkan terlepas buat benda bodoh. Era sekarang yang semua benda nak upload ni, tak mustahil kita pun akan upload benda yang bodoh. Tak mustahil akan ada orang lain yang upload kita tengah buat sesuatu yang bodoh/yang silap/yang berdosa. Adakah ketika itu, kita rela dimalukan seantero alam maya?

Sepatutnya kita membuka pintu rahmat seluas-luasnya. Tegur bukan tak boleh tegur. Tapi tak perlu sampai public shaming teruk-teruk.

Ini sampai keluar doa-doa yang tak senonoh, ayat-ayat maki hamun, mengata macam-macam, apa kejadahnya dakwah, nasihat macam itu?

Saya pernah kena public shaming. Saya faham bagaimana teruknya perasaan orang yang kena public shaming. Sedangkan benda asalnya kecil, kadang salah faham aja pun, boleh selesai cara baik, namun akibat orang menyebar-nyebarkannya, ia menjadi isu besar. Saya mujur mempunyai sahabat-sahabat baik yang memberikan sokongan dan dorongan ketika itu. Tetapi saya faham, bukan semua orang ada sahabat yang boleh bantu dia. Bagaimana orang-orang ini melalui public shaming?

Kita sepatutnya merasa simpati dan kasihan. Benda yang sama boleh sahaja terjadi kepada kita. Tinggal kita ini Allah tutup aib kita. Kalaulah aib kita pun dibuka, disebar-sebar, sama sahaja. Kita pun masa tu berharap orang faham keadaan kita.

 

Penutup: Marilah Kita Jauhi Trend Public Shaming Ini

Saya menyeru kepada diri saya dan rakan-rakan, marilah kita jauhi sikap melakukan public shaming ini. Kita jagalah aib orang, moga Allah jaga aib kita. Kita simpatilah dengan orang, moga Allah simpati dengan kita. Kita tegurlah orang dengan baik dan betul, moga nanti saat kita tersilap, terbuat benda bodoh, akan Allah hantar pada kita teguran dan nasihat yang baik juga kepada kita.

Jauhi public shaming. Mari bina suasana yang baik dan indah.

Rasulullah SAW, orang kencing dalam masjid pun baginda tak benarkan sahabat tebas kepalanya, tak pula orang kencing dalam masjid itu diheret ke tengah para sahabat yang lain dan diberitahu namanya, ditunjuk dirinya, konon sebagai pengajaran buat orang lain. Tiada. Bahkan hingga ke hari ini, tidak ramai yang tahu siapakah yang kencing di dalam masjid itu. Kerana Rasulullah SAW tahu, tindakan itu datang dari kurangnya ilmu. Selepas dia selesai kencing, Rasulullah SAW ajarkan dia benda yang betul, dengan baik, beradab sopan dan tertib. Mendalamlah lagi cintanya kepada Nabi Muhammad SAW.

Bagaimana kita?

Jangan buat pada orang, benda yang kita tak suka orang buat pada kita.

Muhasabah.

Saya sertakan di sini bahan bacaan tambahan:

http://www.huffingtonpost.com/nile-cappello/public-humiliation-is-the-same-as-bullying_b_4045962.html
Semoga Allah rahmati kita.

Mari Membina Komuniti Berjiwa Hamba!

(Sumber: LangitIlahi.com, oleh Hilal Asyraf)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan