Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

PTPTN Serah Waran TPP RM31.61j Kepada 21,074 Pelajar

6:59pm 17/08/2016 Pak Roshan 379 views Mutakhir,Nasional

IPOH 05 November 2014. Kakitangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu peminjam yang hadir di kaunter pejabat PTPTN Perak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh. NSTP/Muhaizan Yahya.

LARUT – Waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM31.61 juta diserahkan kepada 21,074 pelajar Universiti Awam di seluruh negara hari ini.

Pengerusi Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM3.3 juta diberikan kepada 2,202 pelajar di Perak, termasuk RM334,500 untuk 223 pelajar di kawasan Larut.

“Pemberian waran WPP adalah untuk kemasukan pelajar peringkat ijazah ke universiti awam bagi sesi September 2016 bagi meringankan beban ibu bapa dan keluarga menyediakan keperluan asas anak-anak.

“Ibu bapa dan pelajar yang menerima waran ini diingatkan supaya manfaatkan wang ini untuk tujuan pendidikan dan bukannya tujuan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Mesra Pelajar Bersama PTPTN dan Badan Amal Isteri-Isteri Anggota Dewan Undangan Negeri Perak (Baiduri) di Sekolah Kebangsaan Sungai Siputeh, Selama di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Shamsul Anuar berkata sehingga 9 Ogos lepas, sejumlah RM1.21 bilion waran WPP ditunaikan oleh 821,713 pelajar di seluruh negara.

Beliau turut meminta golongan ibu bapa khususnya bumiputera supaya membudayakan amalan menabung bagi mengurangkan kebergantungan pinjaman sepenuhnya daripada PTPTN.

“Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, kita sasarkan rakyat kurangkan pinjaman sebaliknya memberi fokus kepada simpanan awal melalui dua skim kita iaitu SSPN-i dan SSPN-i Plus,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan