Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Proton Iriz mampu beri saingan dalam pasaran

PANDU UJI…. konvoi Proton Iriz melintasi sebuah jembatan.
PANDU UJI…. konvoi Proton Iriz melintasi sebuah jambatan ketika program Proton Iriz Borneo Media Drive.

KOTA KINABALU – Seramai 20 wakil media yang menyertai Program Proton Iriz Borneo Media Drive yang berlangsung empat hari bermula di Miri Sarawak sejak Khamis lepas, menamatkan siri konvoi mereka di sini pada Sabtu.

Program yang bertujuan memberi peluang kepada peserta untuk memandu uji model terbaru kereta nasional Proton Iriz itu, turut disifatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd, Norzahid Mohd Zahudi sebagai berjaya mencapai matlamat utama program berkenaan dianjurkan.

“Secara keseluruhan, kita telah mencapai matlamat utama program itu iaitu memberi pengalaman dan mendengar maklum balas peserta ketika memandu uji Proton Iriz dalam situasi jalanraya yang berbeza,” katanya.

Pada hari pertama, peserta dikehendaki memandu uji Proton Iriz sejauh 84 kilometer menuju ke Gua Niah yang bertujuan memberi peluang peserta menyesuaikan diri dengan sistem pemanduan kenderaan tersebut.

Peserta yang turut disertai oleh pengurusan kanan dan bahagian teknikal Proton kemudian meneruskan pandu uji secara konvoi dari Miri menuju ke negara Brunei Darussalam dengan jarak kira-kira 151 kilometer pada hari kedua.

Dalam konvoi tersebut, Proton menyediakan dua variasi Proton Iriz untuk dipandu uji iaitu transmisi 1.3 manual dan 1.6 CVT automatik untuk dipandu uji secara bergilir-gilir oleh semua peserta terlibat.

Norzahid berkata, antara laluan yang disifatkan antara yang paling mencabar ialah perjalanan konvoi dari Brunei menuju ke Kota Kinabalu, Sabah dengan jarak sejauh 396 kilometer yang mengambil masa kira-kira 10 jam perjalanan.

“Dengan jarak yang lebih jauh serta bentuk jalanraya yang berbeza-beza, peserta dapat merasai prestasi sebenar kenderaan Proton Iriz,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perjalanan peserta konvoi singgah sebentar di Kampung Batu Danau dan Kampung Mendait, Limbang Sarawak bagi menyampaikan sumbangan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda sekitar kawasan terbabit baru-baru ini.

Sumbangan berbentuk barangan keperluan dapur diberikan kepada kira-kira 46 buah keluarga yang terdiri daripada 184 orang itu adalah bertujuan untuk membantu meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir berkenaan.

Terdahulu, sebelum mengakhiri konvoi, media turut disajikan dengan demo ESC  berkaitan kestabilan sistem brek dan kawalan Proton Iriz semasa berhadapan dengan situasi cemas.

Rata-rata wakil media yang menyertai konvoi pandu uji tersebut lebih tertarik kepada variasi Proton Iriz 1.6 automatik berbanding dengan transmisi 1.3 manual.

Dengan rekabentuk dalaman dan luaran yang kemas ia mampu menarik minat golongan muda untuk memiliki kenderaan berkenaan, selain mampu memberi saingan hebat kepada jenama lain dalam pasaran kenderaan kompak.

Proton Iriz yang terdapat dalam tiga variasi berbeza iaitu Standard 1.3 manual, Executive 1.6 automatik dan Premium 1.6 automatik dengan pilihan tujuh warna menarik, dijual di pasaran dengan harga antara RM42,438 hingga RM64,888 dan RM38,328 hingga RM59,268 untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Langkawi. – Oleh NUZIR ANDI SAMSIAR / Sayangsabah

BANTU MANGSA BANJIR… Sebahagian wakil penduduk Kampung Batu Danau dan Kampung Medait, Limbang gembira selepas menerima sumbangan daripada Proton.

Komen


Berita Berkaitan