Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,662

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Projek yang telah diluluskan akan terus dilaksanakan- Musa

11:25am 21/04/2016 Leolerry Lajius 168 views Laporan Sidang DUN,Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman

KOTA KINABALU: Projek-projek yang telah diumumkan dan diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan akan terus dilaksanakan dengan fokus pembangunan diberi kepada projek yang memberi kepentingan kepada rakyat walaupun bajet 2016 telah diubahsuai.

Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk seri Panglima Musa Hj. Aman, ekoran pengubahsuaian bajet 2016, tidak ada projek yang dibatalkan ataupun projek yang dikurangkan kos dan skopnya malah program dan projek pembangunan akan dilaksanakan seperti biasa.

“Pengubahsuaian hanya dibuat dari segi komitmen aliran tunai dan perbelanjaan berdasarkan kemampuan perbelanjaan kementerian dan agensi pelaksana.”

“Pelaksanaan projek utama yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia seperti Projek Lebuhraya Pan-Borneo, Projek Bus Rapid Transit Kota Kinabalu, UTC Tawau dan UTC Keningau akan diteruskan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sukau Datuk Saddi Hj. Abdul Rahman dan ADUN Bongawan Datuk Mohamad Bin Hj. Alamin  yang bertanya apakah kesan kepada Kerajaan Negeri dari segi projek dan  kewangan ekoran pengubahsuaian bajet 2016 panjang ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Mesyuarat Pertama Penggal keempat DUN yang ke-14, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pengubahsuaian bajet ini yang dibuat dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa yang tidak menentu dijangka akan menjimatkan Kerajaan Persekutuan sehingga RM9 bilion dalam perbelanjaan mengurus dan pembangunan serta tidak menjejaskan ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Program Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Luar Bandar, Program Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam, Program Koridor Pembangunan Sabah, Program Khas Anak Negeri Sabah, Program Pengangkutan Awam dan keselamatan akan diutamakan,”katanya.

Jumlah Bajet Persekutuan 2016 yang diluluskan bagi Negeri Sabah adalah berjumlah RM4.788 bilion.-Oleh Leolerry Lajius/Sayang Sabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan