Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek TAED ditangguh

DATUK Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai (kanan) pada sesi taklimat berkaitan pembangunan DBKK di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), di Kota Kinabalu. – Foto Mohd Adam Arinin

 

KOTA KINABALU: Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) ditangguhkan sehingga Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima arahan daripada kerajaan negeri yang baharu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai, berkata DBKK belum menandatangani apa-apa perjanjian dengan mana-mana pihak berkaitan TAED, sekali gus meletakkan projek itu pada status belum boleh dilaksanakan.

Beliau berkata, semua projek di kawasan laut dan membabitkan kerja penambakan akan dihentikan selaras manifesto kerajaan negeri diketuai Parti Warisan Sabah (WARISAN).

“Kerajaan negeri (terdahulu) membelanjakan RM36 juta untuk kerja pemindahan dan menjalankan kajian. Kita belum menerima RM500 juta (dana melaksanakan TAED) daripada Kerajaan Persekutuan (terdahulu). Pada masa ini kita belum menandatangani apa-apa dengan sesiapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi taklimat berkaitan pembangunan DBKK kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Jimmy Wong; Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe dan ADUN Likas, Tan Lee Fat.

Boon Hai turut memberi penerangan mengenai projek Bas Rapid Transit (BRT) dan menjelaskan pihaknya masih menunggu dana RM1.2 bilion daripada Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan bagi projek itu.

Katanya, pelan awal projek itu menumpukan pembangunan sistem BRT yang kemudian boleh ditukar kepada Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam pada itu, Foong Hin berkata, projek TAED adalah satu isu besar sejak penggal lalu dan beliau bersetuju ia memerlukan keputusan besar sama ada untuk meneruskan atau menangguhkannya.

“Ini terletak dalam bidang kuasa Ketua Menteri dan Kabinet negeri akan membincangkannya. Sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu, saya menyokong pendirian kerajaan negeri dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan TAED,” katanya.

Projek TAED yang membabitkan kawasan seluas 348 hektar dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2013 dan ia disasar mengubah Tanjung Aru sebagai kawasan tumpuan pelancong.

Difahamkan, pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip akan dikekalkan sebagai kawasan awam dengan ciri-ciri baharu termasuk dilengkapi laluan pejalan kaki dan berbasikal. –¬†Oleh Avila Geraldine/BH Online

Komen


Berita Berkaitan