Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek STiK akan diperluaskan ke seluruh negeri

Demonstrasi bantuan kecemasan STiK oleh anggota sukarelawan semasa Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan Penyampaian Sijil Penghargaan Jasamu Dikenng Kepada Pesara Peringkat Pantai Barat Utara dan Pelancaran STiK Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, di Auditorium Kompleks Persekutuan Negeri Sabah. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Projek Sistem Tindakan Kecemasan (STiK) yang dilaksanakan di Jalan Tuaran – Ranau akan diperluaskan ke daerah-daerah lain di negeri ini bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan terutama di kawasan yang jauh dari kemudahan kesihatan.

Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, perkhidmatan itu mampu memberikan rawatan kecemasan awal kepada para mangsa kemalangan dan bencana alam seperti tanah runtuh, banjir dan gempa bumi.

Dr. Christina (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada seorang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Auditorium Kompleks Persekutuan Negeri Sabah. – Gambar SNT / Sitti Nor Azizah Talata

Dr Christina berkata, ia selaras dengan objektif projek STiK iaitu untuk mempercepatkan dan memendekkan masa maklum balas bantuan kepada mangsa dalam memberikan rawatan awal kepada kes-kes kecemasan luar hospital.

“Keistimewaan projek STiK adalah penglibatan sukarelawan SuV Support Volunteer yang menjadi pelengkap kepada projek tersebut terutama di kawasan yang jauh dari segi kemudahan kesihatan iaitu klinik dan hospital.

“Memang ada cadangan untuk memperluaskan projek STiK ke daerah lain di negeri ini pada masa akan datang.” katanya kepada Sabah News today.

Terdahulu, Dr Christina merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 dan Penyampaian Sijil Penghargaan Jasamu Dikenng Kepada Pesara Peringkat Pantai Barat Utara dan Pelancaran STiK Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, di Auditorium Kompleks Persekutuan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Seramai 40 pesara serta 299 penerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan dari kawasan Pantai Barat Utara yang merangkumi daerah Tuaran, Kota Belud, Ranau, Kudat, Kota Marudu dan Pitas, diraikan dalam majlis kelolaan Hospital Tuaran itu.

Dalam ucapannya, Dr Christina berkata, projek STiK dapat menyelamatkan nyawa dan menjamin prognosis yang lebih baik sekaligus meningkatkan mutu perkhidmatan kecemasan di sepanjang Jalan Tuaran – Ranau yang merupakan kawasan tumpuan pelancong dan jalan utama di antara pantai barat dan pantai timur Sabah.

Beliau menambah, projek perintis itu telah dimulakan pada pertengahan tahun lalu dan ia diletakkan di bawah jagaan Unit Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Katanya, projek STiK melibatkan jarak 92.5 kilometer dan bermula dari bulatan Hospital Tuaran sehingga ke simpang Bongkut di Lohan, Ranau dengan sebanyak sembilan kemudahan Kementerian Kesihatan digunakan iaitu dua hospital (Tuaran dan Ranau), lima klinik kesihatan, satu Klinik Desa Kelawat dan Mers Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Beliau berkata, dari Mac sehingga September ini, langkah-langkah pembaikan projek STiK telah dilaksanakan bagi mengukuhkan projek itu. – SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan