Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Projek SAMUR Kini 98 Peratus Siap

9:20pm 24/07/2016 Pak Roshan 3136 views Berita Pilihan,Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
Tapak Projek SAMUR yang siap 98%.

Tapak Projek SAMUR yang siap 98%.

SIPITANG : Projek Sabah Ammonia dan Urea (SAMUR) yang dilaksanakan sejak 2012 kini mencapai tahap 98 peratus siap, kata Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Chemical Fertiliser Sabah Sdn Bhd, Mohd Iskandar Bakeri.

Beliau berkata, projek yang melibatkan pembinaan tiga loji pengeluaran utama iaitu ammonia, urea dan pembutiran di dalam satu kompleks serta menggunakan teknologi dari Denmark, Itali, Jerman dan Belanda itu dijangka siap sepenuhnya pada separuh kedua tahun ini.

“Apabila siap sepenuhnya loji berkenaan berupaya menghasilkan ammonia sebanyak 740,000 tan metrik setahun dan baja urea sebanyak 1.2 juta tan metrik setahun.

“Projek bernilai AS$1.9 bilion itu turut dilengkapi dengan utiliti bersepadu, jeti dan lain-lain kemudahan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang diedarkan kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri Petronas Bersama Masyarakat Sipitang, di sini hari ini.

Mohd Iskandar berkata, pada masa ini Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengendalikan dua loji pengeluaran urea iaitu sebuah loji dengan kapasiti 750,000 MTPA di Bintulu dan sebuah lagi dengan kapasiti 696,000 MTPA di Gurun, Kedah.

“Projek SAMUR apabila siap kelak bakal menggandakan kapasiti pengeluaran baja urea kepada kira-kira 2.6 juta MTPA, sekali gus menjadikan PCG pengeluar baja urea kedua terbesar di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 4,000 penduduk di sekitar daerah ini hadir memeriahkan majlis sambutan Aidilfitri anjuran petronas itu.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Datuk Sazali Hamzah, Anggota Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad, Anggota Dewan Undangan Negeri Sindumin Ahmad Bujang dan Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Kamarlin Ombi.

Pada majlis tersebut PCG menyampaikan sumbangan bernilai RM14,000 kepada tujuh buah surau dan masjid di sekitar Sipitang yang disampaikan Musa.

Musa berkata, projek SAMUR itu bakal memberi peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini, khususnya di daerah Sipitang.

“Oleh itu kita berharap anak tempatan dapat diberi keutamaan untuk bekerja di SAMUR, kerana ia akan menjadi pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi tempatan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan