Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek naiktaraf jalan raya tiga fasa atasi kesesakan Benoni ke Pekan Papar

Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyampaikan ucapan dalam majlis itu. - foto Aryan De Vera
Rosnah Abdul Rashid Shirlin menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat PIBG SK Beringis, Papar. – foto Aryan De Vera

PAPAR – Masalah kesesakan lalu lintas di daerah ini bakal diatasi berikutan pelaksanaan beberapa projek naiktaraf dan pelebaran jalan raya melibatkan dua lorong berkembar yang akan dimulakan tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, projek itu merupakan inisiatif kerajaan dan ia bakal dilaksana dalam tiga fasa bermula dengan pelebaran jalan sejauh 2.5 kilometer (km) bermula dari arah laluan bulatan Benoni ke Pekan Papar.

“Proses awal bagi projek ini adalah termasuk aspek pelantikan kontraktor telah pun diselesaikan dan dijangka projek melibatkan peruntukan lerajaan Persekutuan ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Usaha kerajaan ini dilihat mampu mengatasi secara berperingkat kesesakan lalu lintas di laluan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Beringis, di sini.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, projek sama melibatkan fasa pertama dan kedua di laluan dari Pekan Papar hingga ke Lok Kawi akan dilaksanakan sebaik saja proses penilaian harga dan mengenalpasti jajaran sesuai diselesaikan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, bagi projek fasa pertama, kerja pelebaran jalanraya itu akan dibuat dari laluan Lok Kawi hingga ke Pengalat manakala projek fasa kedua bakal menumpukan naiktaraf laluan dari Pengalat ke Pekan Papar.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai status projek Lebuh Raya Pan Borneo di negeri ini, beliau memberitahu, projek itu masih dalam proses perbincangan membabitkan kerajaan negeri, Kementerian Kerja Raya dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo masih dalam proses perbincangan dan belum ada lagi keputusan rasmi mengenai pelantikan mana-mana kontraktor untuk mengendalikan projek ini di Sabah, malah, cadangan daripada pihak swasta mengenai pelaksanaannya (Pan Borneo) juga masih dalam pertimbangan kerajaan,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau berkata, projek yang akan mengutamakan penglibatan kontraktor tempatan Sabah itu akan dimulakan sebaik saja segala perbincangan dimuktamadkan. – oleh Aryan De Vera / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan