Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek Lebuhraya Pan Borneo mungkin diteruskan, kata Shafie

Shafie Apdal menyertai kakitangan RTM menyediakan bubur lambuk di Kota Kinabalu hari ini. (Gambar Bernama)

 

Ketua Menteri Sabah yakin projek itu akan diteruskan walaupun perdana menteri mahu ia dikaji semula.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Lebuhraya Pan Borneo, projek prasarana tunggal terbesar di Borneo, dijangka diteruskan walaupun kerajaan persekutuan mengalami kekangan kewangan.

“Projek itu sudah dilaksanakan dan saya yakin ia akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Ramadan RTM hari ini.

Beliau mengulas laporan memetik Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata projek mega seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange dan Lebuhraya Pan Borneo, antara lain, sedang dikaji semula untuk menyelamatkan berbilion ringgit wang negara.

Lebuhraya sejauh 2,325km yang menyediakan laluan 4 lorong 2 hala, menghubungkan antara Sabah dan Sarawak melalui Brunei, dijadualkan siap pada 2023.

Ia dibiayai oleh kerajaan persekutuan dengan anggaran kos RM29 bilion.

Shafie berkata terdapat kekangan dana pada masa ini “sehingga gaji menteri di peringkat Persekutuan dikurangkan”.

Beliau berkata kekangan kewangan juga menjejaskan kerajaan Sabah.

“Ramai tidak tahu ini. Saya akan memperincikan hutang termasuk berapa banyak hutang kerajaan negeri dan Yayasan Sabah yang perlu diselesaikan,” katanya.

Shafie juga berkata kerajaan negeri akan mengkaji semula pendekatan yang diamalkan oleh Yayasan Sabah.

“Kita perlu menyusun semula pendekatan yang tidak sepenuhnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Ini (asas) adalah tanggungjawab sosial di mana entiti itu pada awalnya ditubuhkan untuk memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” katanya. – freemalaysiatoday

Komen


Berita Berkaitan