Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek Jalur Lebar KKMM di Sabah dan Sarawak Memuaskan – AUDIT

kkmm

KUALA LUMPUR : Pengurusan projek Infrastruktur Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP) di Sabah dan Sarawak oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memuaskan, menurut laporan Ketua Audit Negara.

Laporan itu menyebut secara keseluruhannya pengurusan projek memuaskan dari aspek prestasi perbelanjaan, pengurusan pelantikan kontraktor secara rundingan terus, hasil rundingan harga antara KKMM dan kontraktor serta pengurusan sesi pengujian dan pentauliahan.

“Bagaimanapun, pihak Audit mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pengurusan projek BBGP, antaranya pelantikan kontraktor yang dibuat tidak memenuhi syarat kelayakan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Begitu juga dengan kandungan kontrak yang kurang lengkap khususnya dari aspek butiran spesifikasi piawaian bagi pembinaan rangkaian gentian optik, kaedah pembinaan, senarai kuantiti bekalan peralatan dan perincian jadual harga  menyebabkan kesempurnaan kerja dan kewajaran pembayaran tidak dapat disahkan,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdapat enam kontraktor yang terlibat dengan projek yang menelan kos RM250 juta itu, iaitu; Celcom Axiata Berhad, Esajadi Sdn Bhd, Sedco Communications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Berhad, Jaring Communications Sdn Bhd dan Sacofa Sdn Bhd.

“Selaras dengan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, kontraktor utama yang dilantik hendaklah mempunyai dua lesen iaitu ‘Network Facilities Provider’ (NFP) sebagai penyedia/pemilik infrastruktur dan ‘Network Services Provider’ (NSP), sebagai syarikat operasi infrastruktur yang menyediakan  perkhidmatan rangkaian.

Berdasarkan semakan audit, semua kontraktor mempunyai lesen NFP dan NSP, kecuali Esajadi, berdasarkan semakan terhadap rekod pendaftaran SKMM, syarikat berkenaan hanya mempunyai NFP dan tidak memiliki lesen NSP,” menurutnya.

KKMM dalam kenyataan balasnya kepada Audit bertarikh 17 Feb 2015, memaklumkan syarikat Esajadi menyatakan tidak mempunyai keupayaan untuk memberi perkhidmatan berkaitan lesen NSP.

Sehubungan itu, KKMM akan mengambil tindakan membatalkan kontrak dengan syarikat berkenaan dan isu ini dijangka selesai pada Jun 2015.

Bagi kandungan kontrak kurang lengkap, KKMM dalam maklum balas kepada Audit pada tarikh yang sama memberitahu pihaknya sedang menyediakan perjanjian tambahan terhadap kontrak sedia ada seperti yang dipersetujui semua syarikat dan perjanjian tambahan itu dijangka selesai pada Jun 2015.

Sementara itu, laporan berkenaan juga menyebut pengurusan perkhidmatan pemancar oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) yang digunakan Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) sebagai rangkaian penghantaran isyarat siaran dan operasi serta penyelenggaraan alat pemancar adalah turut memuaskan, kecuali terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

Bagi memastikan pengurusan perkhidmatan pemancar mencapai tahap yang lebih baik, dan tidak menjejaskan operasi penyiaran, RTM disyorkan mempertimbangkan beberapa tindakan antaranya, kementerian dan RTM perlu menyemak semula dan mengemas kini terma dalam perjanjian bagi memastikan kontrak disesuaikan dengan keadaan dan operasi semasa.

RTM juga perlu membuat pemantauan secara berkala ke atas kerja  penyelenggaraan bagi menjamin kerja yang dilaksanakan berkesan, berkualiti, mengikut spesifikasi dan memastikan bayaran yang dibuat selaras dengan perkhidmatan yang diberikan.  — BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan