Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Projek gentian optik Sabah hanya siap 47.9 peratus

KOTA KINABALU: Projek infrastruktur gentian optik Sabah dilaksanakan SEDCO Communications Sdn Bhd (S.Comm) yang membabitkan pemasangan talian sepanjang 2,007 kilometer (km), hanya mencapai 47.9 peratus atau 961 km sehingga akhir tahun lalu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 1 2017 Negeri Sabah, mendedahkan anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) itu sepatutnya menyiapkan projek berkenaan pada tahun 2015.

Berikutan kegagalan menyiapkan mengikut jadual ditetapkan, LKAN dalam maklum balas berhubung pelaksanaan projek berkenaan mengklasifikasikannya sebagai kurang cekap berdasarkan pengauditan yang dibuat pada tahun lalu.

S.Comm menerima pendahuluan bagi melaksanakan projek itu yang merangkumi pemasangan talian Backhaul dan Metro Fibre sebanyak RM14 juta daripada SEDCO pada tahun 2011 dan 2012 dengan RM12.49 juta dibelanjakan setakat 31 November tahun lalu.

Projek itu adalah untuk menyediakan kemudahan teknologi Backhaul terkini untuk penghantaran telekomunikasi, penyewaan jalur lebar dan penyediaan broadband gentian berkelajuan tinggi.

Berdasarkan LKAN, S.Comm menyediakan pelan perniagaan lima tahun dari 2011 hingga 2015 untuk melaksanakan projek berkenaan yang membabitkan panjang 2,007km, masing-masing 1,649km bagi projek Backhaul dan 358km untuk projek Metro Fibre.

Bagaimanapun, semakan audit mendapati hanya 652km projek Backhaul dan 309km projek Metro Fibre siap setakat tahun lalu, manakala sebahagian besar yang belum siap sama ada masih dalam pelaksanaan atau belum dimulakan.

Walaupun alasan kegagalan itu berpunca daripada masalah izin lalu, kos penanaman kabel yang tinggi selain terpaksa menanggung kos pemindahan infrastruktur akibat pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, Jabatan Audit Negara tetap menganggapnya sebagai kurang cekap.

LKAN mendedahkan Projek Jalur Lebar Untuk Orang Ramai (BBGP) yang dilaksanakan S.Comm juga gagal mencapai sasaran apabila hanya satu daripada 19 rangkaian jalur lebar disewakan kepada syarikat telekomunikasi selepas disiapkan pada tahun 2013.

Projek bernilai RM17.66 juta itu membabitkan pemasangan rangkaian jalur lebar sepanjang 230km di sembilan daerah bertujuan meningkatkan penembusan jalur lebar di negeri ini. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan