Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Program Peningkatan Ekonomi KPLBS Memuaskan – Ketua Audit Negara

audit

KOTA KINABALU: Pencapaian Program Peningkatan Ekonomi (PPE) yang merupakan satu daripada Program Pembasmian Kemiskinan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) adalah memuaskan, menurut laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2.

Menurut laporan itu, ini kerana 16 atau 64 peratus daripada 25 sampel projek melibatkan 216 peserta berjaya diteruskan.

Bagi tujuan pengauditan, sebanyak 25 projek PPE berjumlah RM3.52 juta di enam daerah iaitu Pitas, Kota Marudu, Tambunan, Sandakan, Lahad Datu dan Kunak dipilih sebagai sampel melibatkan seramai 375 peserta selain menyediakan latihan/bimbingan, bibit/benih, peralatan dan kemudahan projek.

“Analisis Audit mendapati sebanyak 16 daripada 25 PPE atau 64 peratus projek masih diteruskan manakala tujuh atau 28 peratus projek gagal diteruskan melibatkan kacang tanah, cili padi, cendawan shitake, rumpai laut dan itik penelur.

“Seterusnya, dua atau 8 peratus projek belum beroperasi iaitu kisaran padi dan rumpai laut bagi tahun 2012 hingga Oktober 2013,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut laporan itu, pihak Audit mendapati 16 projek PPE yang diteruskan oleh 216 peserta adalah seperti tanaman kacang tanah, cili padi, halia, cendawan shitake, ternakan itik penelur, ikan siakap, ketam bakau dan burung walet.

 

“Hasil temu bual Audit dengan 31 peserta mendapati peserta menjual sendiri hasil projek mereka di pasar berdekatan. Peserta juga memaklumkan ada peningkatan pendapatan selepas menyertai projek berbanding sebelumnya”.

Hasil temu bual Audit mendapati kegagalan projek adalah disebabkan serangan penyakit, kemarau, pendapatan peserta tidak dapat menampung kos sara hidup, lokasi tidak sesuai dan kos bahan makanan ternakan adalah mahal.

Berhubung dua projek PPE belum beroperasi yang melibatkan 24 peserta iaitu Projek Kisaran Padi dan Penanaman Rumpai Laut, pihak Audit mengesyorkan KPLBS mengambil langkah-langkah seperti penambahbaikan bagi projek akan datang serta memastikan projek yang dilaksanakan disediakan dengan kemudahan yang lengkap untuk peserta agar projek dapat berjalan dengan lancar. “Tempoh kelewatan projek beroperasi adalah antara sembilan hingga 17 bulan daripada tarikh peralatan diagihkan sehingga tarikh pengauditan dijalankan. Semakan Audit seterusnya mendapati kos kedua-dua projek telah dibayar sepenuhnya pada tahun tersebut berjumlah RM79,522,” menurut laporan itu.

Komen


Berita Berkaitan