Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

PROGRAM JIWA MURNI MARKAS PEMERINTAHAN KAPAL SELAM BANTU ISI TABUNG DARAH HQE1

Anggota TLDM menderma darah pada Program Jiwa Murni MPKS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Markas Pemerintahan Kapal Selam (MPKS) hari ini mengambil inisiatif membantu  menambah bekalan darah dari pelbagai jenis kumpulan darah untuk Unit Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth 1 melalui Program Jiwa Murni, di pusat beli belah Imago, di sini.

Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain berkata pihaknya menyasarkan sehingga 200 pain bekalan darah akan terkumpul sepanjang program sehari itu.

“Kita bekerjasama dengan HQE1 serta beberapa pihak lain termasuk Hospital Mesra Bukit Padang, Kelab Rotary Penampang serta pusat beli belah Imago dalam menjayakan program ini.

Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain ketika ditemui pemberita. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Seramai 400 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada MPKS sendiri dan beberapa anggota TLDM dari pelbagai cawangan serta orang awam memberikan komitmen bersama dalam Program Jiwa Murni yang dianjurkan,” katanya.

Tambahnya pengunjung juga turut berpeluang memyaksikan dengan lebih dekat sebahagian aset MPKS dan aset cawangan lain dalam TLDM seperti Pasukan Penyelam dan Pasukan Pertahanan Udara yang dipamerkan serta menikmati hiburan yang dipersembahkan oleh anggota TLDM sendiri.

Pasukan Pertahanan Udara TLDM Kota Kinabalu antara yang mempamerkan aset termasuk sistem persenjataan misil bumi ke udara jarak pendek, Starstreak yang membuatkan ramai pengunjung tertarik.

“Misil Starstreak digunakan oleh PPU TLDM bagi melancarkan serangan jarak dekat terhadap pesawat musuh ketika di medan. Misil ini mempunyai keupayaan kuasa tembakan tinggi dengan tahap kelajuan hampir 1,000 meter per saat.

Pegawai Operasi Pasukan Pertahanan Udara (PPU) TLDM Kota Kinabalu, Leftenan Mohd Rafzee Mohd Sukri bersama sistem misil darat ke udara jarak dekat, Starstreak pada Program Jiwa Murni MAKS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Misil ini boleh dilancarkan dari kedudukan tanah ataupun dari kenderaan pembawa misil Starstreak Weststar GK-M1,” menurut Pegawai Operasi Pasukan Pertahanan Udara (PPU) TLDM Kota Kinabalu, Leftenan Mohd Rafzee Mohd Sukri.

Bagi pasukan penyelam TLDM pula, alat bantuan pernafasan Lar-5 Rebreather sangat unik buat pengunjung kerana alat ini hanya menggunakan tangki yang kecil dan dan diletakkan pada bahagian dada ketika menyelam.

Anggota dari Pasukan Penyelam TLDM memberikan penerangan alat pernafasan LAR-5 Rebreather kepada pengunjung sambil disaksikan oleh Bintara Kanan Penyelam TLDM Eka Madia Putra Ibrahim (kiri) pada Program Jiwa Murni MPKS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Karbon dioksida yang dilepaskan penyelam akan masuk semula ke dalam alat ini dan akan dikitar semula menjadi oksigen putih selepas bertindak balas dengan bahan yang dipanggil ‘Soda Soap” yang terletak pada bahagian dalam alat berkenaan.

Alat bantuan pernafasan Lar-5 ini menggunakan seratus peratus oksigen tulen dan tidak mengeluarkan buih dan boleh menyelam berterusan selama 4 jam di kedalaman tidak melebihi 7 meter.

Bintara Kanan Penyelam Pasukan Penyelam TLDM Kota Kinabalu, Eka Madia Putra Ibrahim berkata Lar-5 Rebreather adalah salah satu peralatan penting yang digunakan oleh pasukan penyelam TLDM dan Pasukan Khas Laut (PASKAL) dalam menjalankan penugasan dalam laut sama ada menjalankan operasi mencari dan menyelamat, kimpalan dalam air dan penyusupan anggota untuk melakukan serangan hendap.

Persembahan nyayian daripada anggota TLDM pada Program Jiwa Murni MPKS di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pasukan Penyelam TLDM banyak menjalankan penugasan di dalam lautan termasuklah menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa dan membantu membuat kimpalan bawah permukaan air pada bahagian bawah kapal yang bocor akibat terlanggar batu karang di kawasan cetek ketika belayar.

“Pasukan Penyelam TLDM Kota Kinabalu juga pernah dipanggil untuk menjalankan operasi mengeluarkan mayat mangsa feri karam di Sungai Pandan, Sebauh, Bintulu, Sarawak pada April lepas,” katanya. -SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan