Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Program bersihkan pantai Pulau Libaran galak penyu bertelur

SANDAKAN – Sebanyak tujuh syarikat dan agensi kerajaan menyertai Program Angkat iaitu membersihkan pantai Pulau Libaran bagi meningkatkan jumlah penyu mendarat di pulau itu.

Program yang dilaksanakan sebuah agensi pelancongan, Trekkers Lodge Sdn Bhd dengan kerjasama Friend of Sea Turtles Education and Research (FOSTER) itu bermula sejak Ahad lepas yang merangkumi kawasan sejauh tiga kilometer.

Pengarah Urusan Trekkers Lodge Sdn Bhd, Alexander Yee berkata kawasan itu dibahagikan kepada 60 lot dengan setiap lot sepanjang 50 meter dan lima orang penduduk kampung terpilih untuk menyertai program pembersihan itu.

“Pesisir pantai yang kotor dengan sampah dan kayu menyukarkan penyu naik ke darat untuk bertelur selain persekitaran pantai turut terjejas kerana tidak bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis menandatangani perjanjian dengan lima penduduk kampung yang dipilih melakukan kerja pembersihan pantai di pulau itu, di sini hari ini.

Yee berkata apabila bilangan penyu mendarat bertambah, ia akan menyumbang kepada usaha konservasi hidupan marin itu menerusi pembukaan Pusat Penetasan Telur Penyu oleh syarikatnya di pulau berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berkata Pulau Libaran yang terletak 40 minit perjalanan dengan menaiki bot dari Sandakan dipilih sebagai kawasan untuk penyu bertelur memandangkan ia terletak berhampiran kawasan Taman Pulau Penyu yang meliputi Pulau Selingan, Bakungan Kecil dan Gulisan.

Antara tujuh syarikat dan agensi yang tampil memberi dana untuk program itu ialah ABC Tours SB, Traverse Tours SB, OIB Tours SB, STWA Tours SB dan Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah.

Beliau berkata dana yang diterima akan disalurkan kepada FOSTER bagi membayar elaun penduduk kampung yang terlibat dalam kerja pembersihan pantai iaitu sebanyak RM80 sebulan untuk satu lot.

“Botol plastik yang dikumpulkan daripada kerja pembersihan juga akan dibayar iaitu 10 sen untuk setiap botol besar dan 5 sen untuk botol kecil yang akan digunakan semula untuk pembinaan pondok botol plastik di pulau itu,” katanya.

Sementara itu, ketua kampung Pulau Libaran, Jikral Kahar berkata penduduk kampung memberi kerjasama dalam pelaksanaan program pembersihan pantai yang turut memberi manfaat kepada mereka.

Menerusi program itu, ia bukan sahaja dapat mengindahkan pantai di pulau itu, malah memberi punca pendapatan kepada penduduk kampung terpilih untuk kerja pembersihan, katanya.

Jikral berkata terdapat 450 penduduk di kampung itu yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan. – BERNAMA

TANDATANGAN… Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Sabah, Awang Ahmad Zaki Abu Bakar (kiri) bersama Pengarah Urusan Trekkers Lodge Sdn Bhd, Alexander Yee (dua dari kiri) ketika majlis menandatangani perjanjian dengan penduduk kampung yang terlibat membersihkan pantai Pulau Libaran menerusi pelaksanaan Program Angkat di pulau itu hari ini. – foto Bernama

Komen


Berita Berkaitan